KUALA LUMPUR – Bilangan kekosongan jawatan diiklankan dalam talian pada suku tahun keempat 2023 merekodkan peningkatan sebanyak 32.5 peratus dengan 448,181 kekosongan berbanding 338,305 kekosongan pada suku tahun ketiga 2023.

Pada suku ini, terdapat sebanyak 85,814 pertubuhan yang menawarkan kekosongan jawatan berbanding 77,499 pertubuhan yang direkodkan pada suku tahun ketiga 2023.

Berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, bilangan kekosongan jawatan mencatatkan pertumbuhan tiga digit iaitu 119.2 peratus berbanding 77.9 peratus pada ST3 2023.

Pada bulanan suku keempat 2023, kekosongan jawatan yang diiklankan dalam talian yang tertinggi adalahpada bulan Disember 2023 iaitu sebanyak 172,777 kekosongan.

Sementara itu, terdapat 137,449 dan 137,955 kekosongan pada bulan Oktober dan November 2023.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, bagi kekosongan jawatan diiklankan dalam talian berdasarkan kategori pekerjaan, hampir separuh daripada kekosongan jawatan tertumpu dalam bidang profesional dengan 48.9 peratus atau 218,947 kekosongan pada ST4 2023.

Ini diikuti oleh 18.5 peratus (82,950) bagi kategori pengurus manakala juruteknik dan profesional bersekutu menyumbang 17.0 peratus (76,284).

Pecahan selanjutnya mengikut pekerjaan popular pada suku tahun tersebut, terdapat permintaan yang lebih tinggi untuk bidang profesional pengiklanan & pemasaran, profesional bersekutu pentadbiran, pengarah urusan & ketua eksekutif, akauntan &
juruaudit serta pembangunan perisian.

Bagi kekosongan jawatan mengikut sektor ekonomi, kebanyakan kekosongan jawatan pada ST4 2023 adalah dalam sektor perkhidmatan dengan 50.9 peratus atau 228,148 kekosongan.

Menurutnya, perdagangan borong dan runcit mendominasi kekosongan dengan 15.9 peritus atau 71,154 pekerjaan.

Pembuatan merekodkan sejumlah 32,976 kekosongan (7.4%), diikuti oleh aktiviti pentadbiran & khidmat sokongan sebanyak
32,113 kekosongan (7.2%) dan aktiviti profesional, saintifik & teknikal dengan 27,757 kekosongan (6.2%).

“Pekerjaan popular yang ditawarkan dalam kategori Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ialah pekerjaan profesional
pengiklanan dan pemasaran yang mencatatkan bilangan kekosongan jawatan tertinggi (33,079), diikuti oleh profesional bersekutu pentadbiran (20,240) dan jurutera perisian (12,318).

Bagi kategori Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), tiga pekerjaan utama ialah pengurus projek (4,662), jurutera perisian (3,571) dan Jjuruteknik (3,084).

Sementara itu, pekerjaan dengan permintaan tertinggi bagi Senarai Pekerjaan Kritikal (COL) ialah profesional pengiklanan & pemasaran (33,079), pengarah urusan & ketua eksekutif (19,266) serta akauntan & juruaudit (18,025).

Mengenai kekosongan jawatan diiklankan dalam talian di peringkat negeri, semua negeri kecuali Perlis menunjukkan peningkatan kekosongan berbanding suku tahun ketiga 2023.

Kuala Lumpur mencatatkan kekosongan jawatan tertinggi iaitu 81,574 atau 18.2 peritus, selain Selangor 43,673 (9.7%), diikuti
Johor sebanyak 19,822 (4.4%).

Sementara itu, negeri Perlis merekodkan kekosongan terendah iaitu hanya 79 kekosongan jawatan sahaja. – MalaysiaGazette