NIBONG TEBAL – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin, 60, sebagai calon mewakili kerajaan Perpaduan manakala Pas yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN 15) diwakili Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail, 56.

Pegawai Pengurus PRK DUN Sungai Bakap, Khairulnizam Hashim mengumumkan pencalonan rasmi itu sebaik tempoh proses penamaan calon ditutup jam 10 pagi.

“Joohari menyerahkan borang pencalonannya pada jam 9.03 pagi diikuti Abidin, jam 9.06 pagi di pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna Jawi di sini.

“Setelah meneliti tiada borang mana-mana calon ditolak,” katanya hari ini.

Proses penamaan calon bagi PRK Sungai Bakap berjalan lancar meskipun kawasan itu dibanjir  kehadiran penyokong dari kedua-dua parti terbesar iaitu PH dan PN.

Setelah selesai proses penamaan, maka bermulalah proses kempen selama 14 bermula hari ini.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Julai ini bagi tarikh mengundi awal dan 6 Julai sebagai hari mengundi.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos lepas, Nor Zamri menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast