KUALA LUMPUR – Mengapa persoalan mengenai kuasa Undang Yang Empat dalam kemelut Negeri Sembilan tidak dirujuk kepada mahkamah untuk diputuskan?
Persoalan itu dibangkitkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Kehakiman), Datuk Zaid Ibrahim ketika mengulas pertuduhan menghasut terhadap Tun Rais Yatim.
Menerusi hantaran di Facebook beliau, Zaid menyifatkan keadaan itu sebagai sesuatu yang mendukacitakan, mengambil kira usia Rais yang kini 84 tahun serta pengalaman panjangnya dalam kerajaan dan pengetahuan mengenai adat serta undang-undang adat Negeri Sembilan.
“Rais sudah berkhidmat dengan kerajaan selama bertahun-tahun. Beliau begitu memahami adat dan undang-undang adat serta mempunyai kelayakan untuk memahami asas kedaulatan undang-undang.
“Jadi amat malang apabila hari ini beliau didakwa menghasut. Apa sebenarnya yang beliau lakukan dan apa yang beliau katakan?,” tulis beliau.
Rais hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas pertuduhan menghasut berhubung krisis membabitkan institusi Diraja dan adat Negeri Sembilan.
Mengikut pertuduhan, Rais didakwa mengeluarkan kata-kata menghasut pada kira-kira pukul 1 petang, 5 Jun lalu di sebuah hotel di Simpang Ampat, Alor Gajah.
Antara kenyataan yang didakwa dibuatnya termasuk mendoakan keselamatan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 serta menyeru rakyat memberikan taat setia kepadanya berdasarkan lunas undang-undang dan adat Negeri Sembilan.
Dalam hantaran itu, Zaid membuat andaian Rais mempertahankan kuasa Undang Yang Empat dalam isu kedudukan Yang Dipertuan Besar serta kemungkinan tindakan mereka yang mencetuskan kemelut semasa.
Namun, menurut beliau, persoalan mengenai sama ada kuasa tersebut digunakan secara sah atau sebaliknya merupakan isu undang-undang.
“Jika Undang telah menggunakan kuasa mereka secara tidak wajar, mengapa tidak dirujuk kepada mahkamah untuk diputuskan? Perkara ini berlaku jauh sebelum pilihan raya,” ujarnya.
Zaid turut mempersoalkan mengapa krisis itu dibiarkan berlarutan sedangkan penyelesaian melalui proses undang-undang boleh dicari lebih awal.
Beliau kemudian membangkitkan perkembangan politik yang berlaku susulan kemelut berkenaan, termasuk tindakan menyingkirkan keseluruhan barisan Exco yang dipilih dan menggantikannya dengan ADUN PH.
“Tindakan menyingkirkan semua Exco yang dipilih dan melantik ADUN PH menggantikan mereka adalah tidak berperlembagaan. Begitulah cara demokrasi dikalahkan,” dakwanya lagi.
Zaid dalam masa sama mengingatkan kedudukan Undang Yang Empat dalam sistem pemerintahan Negeri Sembilan yang menurutnya tidak boleh dipandang ringan.
“Jangan lupa Undang adalah pemerintah bersama di Negeri Sembilan.
“Mereka mungkin tidak pernah bersekolah di England atau mempunyai kelayakan sebagai peguam, tetapi mereka tetap berhak mendapat penghormatan seperti mereka yang lebih berkelayakan,” jelasnya.
Penghormatan terhadap institusi Raja, menurut Zaid, tidak seharusnya hanya tertumpu kepada satu pihak kerana Undang mempunyai kedudukan tersendiri sebagai pemerintah di kawasan masing-masing.
“Undang inilah yang melantik Yang Dipertuan Besar. Jangan lupa perkara itu,” tulisnya.
Zaid turut mempersoalkan tindakan terhadap Rais sekiranya kata-kata bekas Menteri Besar itu dianggap menyentuh kedudukan atau kewibawaan Yang Dipertuan Besar.
Pada masa sama, beliau membandingkan keadaan itu dengan kenyataan pihak tertentu yang didakwanya pernah memperlekeh Undang dengan melabel mereka sebagai tidak bertamadun.
“Tiada pertuduhan menghasut terhadap mereka?,” soal Zaid.
Mengulas kemelut Negeri Sembilan secara keseluruhan, beliau berpandangan penyelesaian sebenarnya boleh dicapai sekiranya semua pihak benar-benar mahu menamatkannya.
“Jika mereka benar-benar mahu menyelesaikan krisis, mereka boleh berbuat demikian. Tetapi mereka mahu bermain politik,” tulisnya. – MalaysiaGazette

















Akhirnya ada juga rakyat yg berani bersuara…zaman sekarang Hak rakyat pun dinafikan..kerajaan Madanon ni makin merepek2…