Antara pemenang Pertandingan Reka Bentuk Tandas dan Ruang Mandi Awam di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Idea reka bentuk pemenang Pertandingan Reka Bentuk Tandas dan Ruang Mandi Awam bakal digunakan dalam pembinaan kemudahan baharu di Padang Merbok dan Bukit Bintang, yang dijadualkan bermula tahun hadapan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, pertandingan itu memberi peluang kepada golongan profesional dan pelajar mengemukakan idea serta reka bentuk baharu yang boleh disesuaikan dengan keperluan kemudahan awam di ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.

“Melalui siri pertandingan ini, kita dapat bekerjasama dengan golongan profesional dan pelajar yang mengemukakan reka bentuk mereka.

“Daripada situ, kita dapat hasil idea baharu dan reka bentuk pemenang akan digunakan bagi pelaksanaan dua tapak tandas serta tempat mandi iaitu di Padang Merbok dan Bukit Bintang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Apresiasi dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Reka Bentuk Tandas dan Ruang Mandi Awam di Kuala Lumpur.

Fadlun berkata, pendekatan berkenaan turut membolehkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bekerjasama dengan badan profesional dalam pembangunan projek, selain berpotensi menjimatkan kos dan menghasilkan lebih banyak idea untuk dipertimbangkan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pembangunan bandar perlu melibatkan badan profesional bagi memastikan kemudahan yang dirancang mengambil kira standard serta keperluan pengguna.

Menurutnya, penglibatan pelajar universiti dalam pertandingan berkenaan turut membuka ruang kepada generasi muda menyumbang idea dalam pembangunan bandar pada masa hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh

“Reka bentuk pelajar untuk Padang Merbok menarik kerana ia menyelesaikan dua keperluan dalam satu reka bentuk iaitu tandas dan tempat mandi awam, selain boleh berfungsi sebagai viewing deck.

“Padang Merbok mempunyai banyak aktiviti komuniti dan apabila ruang terhad, reka bentuk seperti ini membolehkan dua masalah diselesaikan menerusi satu kemudahan,” katanya.

Hannah berkata, kemudahan ruang mandi awam juga penting khususnya bagi wanita yang bersukan atau menggunakan kawasan rekreasi.

Katanya, penyediaan kemudahan asas yang selesa perlu bergerak seiring dengan pembangunan serta penggunaan kawasan hijau dan lapang di Kuala Lumpur.

Mengenai bayaran penggunaan kemudahan berkenaan, Hannah berkata, ia akan dikenakan pada kadar nominal oleh DBKL.

Pertandingan itu yang melibatkan kerjasama DBKL dengan Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) dibahagikan kepada dua kategori, iaitu kategori profesional bagi Tapak 1 di Bukit Bintang dan kategori pelajar bagi Tapak 2 di Padang Merbok.

Penilaian serta penjurian akhir dilakukan dengan aspek yang dinilai merangkumi konsep reka bentuk, inovasi, kelestarian, kos dan pematuhan terhadap keperluan pihak berkuasa.

Bagi kategori profesional, tempat pertama dimenangi Qhawarizmi Architect, diikuti AREA Architects Sdn Bhd di tempat kedua dan Ruang Architects Sdn Bhd di tempat ketiga.

Kategori pelajar pula dimenangi kumpulan Chan Chong Wei, Ooi Zhi Xin, Liew Shu Yi dan Foo Teng Wei, manakala Kelvin Tan Chun Ming di tempat kedua dan Lim Yi Chee di tempat ketiga.

Pertandingan itu turut mengambil kira aspek fungsi, keselesaan pengguna, keselamatan, kelestarian serta keperluan operasi dan penyelenggaraan.

Cadangan yang dihasilkan berpotensi menjadi sumber rujukan reka bentuk bagi pembangunan kemudahan awam pada masa hadapan, tertakluk kepada kesesuaian teknikal, kos, keperluan operasi dan penyelenggaraan serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here