SEREMBAN – Bagaimana Datuk Ismail Lasim boleh mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 2 Ogos lalu, sebelum menandatangani sehari kemudian satu proklamasi yang mempunyai implikasi terhadap kedudukan baginda?
Persoalan itu dibangkitkan Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad yang melihat kronologi berkenaan sebagai sesuatu yang perlu dijelaskan oleh pentadbiran Negeri Sembilan.
Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos, manakala pada 3 Ogos beliau menandatangani Proklamasi bertarikh 19 April 2026.
Lima hari kemudian, pada 7 Ogos, barisan 10 Exco kerajaan negeri pula mengangkat sumpah di hadapan Tuanku Muhriz bagi melengkapkan pentadbiran baharu Negeri Sembilan.
“Ini yang menimbulkan persoalan. Pada 2 Ogos, Menteri Besar mengangkat sumpah di hadapan Tuanku Muhriz. Pada 3 Ogos, beliau menandatangani proklamasi yang menyentuh kedudukan Yang di-Pertuan Besar.
“Jadi, apa sebenarnya pendirian kerajaan negeri ketika itu?,” soalnya hari ini.
Kata beliau kepada MalaysiaGazette, persoalan itu tidak boleh dipisahkan daripada perkembangan selepas itu apabila kerajaan negeri pada September memutuskan untuk meneruskan proses berkaitan proklamasi 19 April.
Keputusan tersebut membawa implikasi langsung terhadap kedudukan Tuanku Muhriz, sebelum Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 17 September menyatakan proklamasi berkenaan tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
AGC turut menegaskan Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Saifuddin berkata, penjelasan bekas Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun mengenai keengganannya menandatangani dokumen sama pada April juga menambah persoalan terhadap tindakan Ismail.
Aminuddin menjelaskan beliau tidak menandatangani proklamasi itu ketika masih Menteri Besar kerana mempunyai persoalan serius mengenai proses di bawah Perkara 10, termasuk sama ada siasatan yang lengkap telah dijalankan.
“Kalau Menteri Besar terdahulu mempunyai persoalan terhadap proses sehingga memilih untuk tidak menandatangani, mengapa Menteri Besar selepas itu menandatangani dokumen yang sama?
“Itulah persoalan yang perlu dijawab berdasarkan rekod dan kronologi, bukan sekadar menyalahkan kerajaan terdahulu,” soalnya lagi.
Saifuddin berkata, lebih penting ialah rakyat Negeri Sembilan perlu diberikan penjelasan mengenai bagaimana keputusan berhubung proklamasi itu dibuat selepas kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran.
“Rakyat tidak sepatutnya terus dibebankan dengan kemelut ini. Yang lebih membimbangkan, ia bukan lagi sekadar pertikaian politik kerana sudah menyentuh institusi Raja,” tegasnya. -MalaysiaGazette
Proklamasi: Saya tak tandatangan, kenapa Ismail tandatangan? – Aminuddin
















