Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Pengorbanan wira negara yang gugur dalam insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram merupakan bukti nyata perjuangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukanlah sia-sia.

“..Tetapi ia adalah demi mempertahankan keselamatan dan keamanan tanah air tercinta. Semoga segala pengorbanan kita diterima-Nya dan dikurniakan ganjaran pahala oleh Allah SWT,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Hari Raya Aidiladha hari ini.

Dalam pada itu, Razarudin mendoakan kepada anggota polis yang menunaikan haji supaya dipermudahkan urusan dan berolah haji mabrur.

“Bagi mereka yang akan pulang ke kampung halaman sempena musim perayaan ini, patuhilah peraturan jalan raya yang telah ditetapkan. Pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta kediaman yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat,” katanya. – MalaysiaGazette