Foto IG Bella Astilah.

KUALA LUMPUR – Ibu kepada penyanyi Aliff Aziz iaitu Siti Hafiza akhirnya muncul semula di Instagram selepas lama mendiamkan diri dengan meluahkan rasa syukur kerana Allah memberikan ketenangan kepadanya dan keluarga.

Hafiza atau Siti Hafiza Basharahil turut mengucapkan terima kasih atas sokongan semua pihak sepanjang kes penceraian anaknya itu dengan pelakon Bella Astillah.

“Alhamdulillahirobbilalamin di hari Khamis yang penuh barakah ini kami mengucap syukur Allah permudahkan semua urusan dan memberi ketenangan pada kami sekeluarga.

“Yang baik itu semuanya dari Allah dan sebaliknya adalah khilaf dari kami yg daif dan tidak sempurna.

“Pada anda yang sentiasa mendoakan kami masya-Allah hanya Allah yang dapat membalas jasa baik anda sekalian dan yang sebaliknya tabarakallah juga kami ucapkan,” tulisnya menerusi satu hantaran di Instagram miliknya.

Dalam pada itu, Hafiza sempat memberikan refleksi diri tentang jatuh bangun sesebuah kehidupan.

“Hati yang tenang itu sangat mahal harganya dan hanya Allah yang dapat memberikan kita ketenangan.

“Sebagai insan wajib belajar dari segala kehilafan dan mohon Allah kekalkan semoga kita terus istiqamah untuk menjadi insan yang lebih baik.

“Ajal maut rezeki kebahagian dan semuanya Allah yang tentukan. Kita terus berusaha selebihnya kita bertawakal pada-Nya. Salam buat semua anda insan-insan hebat semoga sentiasa dalam rahmah dan barakah Allah,” ujarnya.

Semalam, Aliff dan Bella sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Untuk rekod, Bella memfailkan permohonan cerai pada 13 Mac lalu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

la susulan Aliff dan pelakon Ruhainies dicekup berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara pada 9 Mac 2024.

Aliff bagaimanapun enggan menceraikan Bella pada sebutan kedua kes tersebut pada 4 April lalu dengan alasan masih sayangkan isterinya dan mahu mempertahankan rumah tangga mereka.

Isu tersebut bertambah rumit apabila timbul dakwaan Bella juga bersikap curang apabila menjalinkan hubungan dengan aktor baharu, Muaz Zabir selepas tersebar foto mesra mereka berdua. – MalaysiaGazette