Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari menunjukkan barangan rampasan motosikal ‘Geng Apek Beringin’.

KUALA LUMPUR – ‘Geng Apek Beringin’ yang aktif mencuri motosikal berjaya ditumpaskan  selepas polis menahan empat suspek dalam dua serbuan berasingan sekitar Lembah Klang semalam dan hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, tangkapan kesemua suspek melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 27 hingga 38 tahun.

Terdahulu, pihaknya telah melancarkan operasi khas iaitu Ops Lejang Khas bagi membanteras kegiatan sindiket curi motosikal terutama di kawasan di bawah pentadbiran polis Sentul.

“Hasil siasatan mendapati, modus operandi sindiket ini diketuai oleh suspek dikenali dengan panggilan ‘Apek’ berusia 35 tahun dengan menyasarkan motosikal jenama Yamaha.

“Setelah sesebuah motosikal itu dikenal pasti, salah seorang daripada suspek akan bertindak mencuri motosikal terbabit dan kesemua motosikal dicuri akan dileraikan yang mana komponennya akan dijual manakala rangka motosikal dibuang ke dalam semak,” katanya dalam sidang media  hari ini. 

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari.

Tambah Ahmad Sukarno, ‘Geng Apek Beringin’ mula dikesan bergiat aktif dalam sindiket curi motosikal di Kuala Lumpur dan Selangor sejak awal tahun ini.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan motosikal yang dilakukan polis bernilai kira-kira RM50,000.

Susulan dari tangkapan itu, polis berjaya merampas empat buah motosikal, lapan buah rangka motosikal, dua bongkah enjin dan dua coverset motosikal.

“Ia juga termasuk lima buah telefon bimbit pelbagai jenama, dua batang spanar dan tiga batang besi yang telah diubah suai disyaki digunakan untuk mencuri motosikal,” jelasnya.

Semakan ke atas kesemua suspek mendapati mereka mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau melibatkan kecurian dan dadah.

Bagaimanapun, keempat-empat suspek telah direman bermula hari ini hingga 8 Jun dan mereka juga sudah diserahkan kepada IPD Brickfields bagi membantu siasatan kes. 

“Susulan dari operasi yang dijalankan, polis telah berjaya menyelesaikan 16 kes kecurian yang dilaporkan, dimana sebanyak 15 kes di Kuala Lumpur dan satu di Selangor.. – MalaysiaGazette