Danial.

GEORGE TOWN – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Pulau Pinang menyifatkan tindakan segelintir pemimpin kerajaan mengumumkan sejumlah peruntukan di Sungai Bakap sebagai ‘gula-gula’ menarik undi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 6 Julai ini.

Ketua Penerangannya, Danial Abdul Majeed berkata, pengumuman peruntukan RM290,000 kepada sembilan masjid dan 20 surau di kawasan Sungai Bakap pada Selasa lalu jelas menunjukkan untuk menarik undi.

“Tidak cukup itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut mengumumkan peruntukan hampir RM18 juta bagi melaksanakan 10 projek pembangunan infrastruktur awam di kawasan Seberang Perai pada hari sama.

“Menteri dan Exco kerajaan negeri harus tahu batasan mereka dalam tempoh pilihan raya ini selain jelas tindakan pengumuman peruntukan yang dibuat baru-baru ini sebagai gula-gula pilihan raya.

“Ini bukan kali pertama kerana Menteri KPKT juga mengumumkan peruntukan RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor menjelang PRK Kuala Kubu Bharu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, penggunaan dana kerajaan sebagai ‘gula-gula’  ketika pilihan raya adalah tindakan tidak beretika.

“Pakatan Harapan sendiri pernah mengutuk perbuatan ini ketika mereka menjadi pembangkang tapi kini, mereka pula menggunakan taktik sama apabila memegang tampuk pimpinan negara.

“Budaya seperti ini perlu dihentikan segera agar proses pilihan raya berjalan secara adil dan saksama. Muda Pulau Pinang meminta rakyat agar bijak dalam menilai dan membuat keputusan nanti,” katanya. – MalaysiaGazette