Jenazah pendaki Malaysia, Allahyarham Zulkifli Yusuf yang meninggal dunia semasa menyertai ekspedisi pendakian di Gunung Denali, Alaska, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang; dibawa ke kampung halamannya di Taiping, Perak bagi urusan pengebumian. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR – Jenazah pendaki Malaysia, Allahyarham Zulkifli Yusuf, 37, yang meninggal dunia semasa menyertai ekspedisi pendakian di Gunung Denali, Alaska, Amerika Syarikat selamat tiba di tanah air pagi ini.

Pesawat kargo Korean Airlines (KE373) yang membawa jenazah Allahyarham, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada 8.42 pagi.

Jenazah Allahyarham diterbangkan pulang ke tanah air, 7.15 pagi Rabu (waktu tempatan), dengan penerbangan transit di Los Angeles dan Incheon, Korea Selatan.

Van jenazah dilihat memasuki pekarangan Kompleks Kargo Udara Bayan Lepas pada 8.37 pagi dan keluar meninggalkan kompleks kargo pada 10 pagi, untuk dibawa ke kampung halamannya di Taiping, Perak bagi urusan pengebumian.

Turut mengiringi perjalanan terakhir Zulkifli ialah bapanya Yusuf Abdullah, adik, saudara mara dan rakan, serta wakil Kelab Jelajah Alpine Malaysia (ACM).

Jenazah anak sulung dari lima beradik itu, dibawa ke rumah keluarga di Kampung Temerlok terlebih dahulu sebelum disembahyangkan di Masjid Al Mahmudiah Kampung Temerlok, Trong dan dijangka dikebumikan selepas solat Zohor.

ACM sebelum ini memaklumkan proses membawa pulang jenazah dilakukan dengan kerjasama pihak syarikat insurans, ejen pengurusan jenazah, pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) dan wakil Kelab Jelajah Alpine.

Pada 1 Jun, ACM memaklumkan seorang daripada tiga pendaki rakyat Malaysia yang terkandas pada ketinggian 19,700 kaki di Gunung Denali di Alaska, AS, sejak 28 Mei ketika membuat pendakian di gunung tertinggi di Amerika Utara itu, dilaporkan meninggal dunia.

Kelab berkenaan memaklumkan Zulkifli meninggal dunia pada 6 pagi, 29 Mei (waktu tempatan), semasa berlindung di gua salji yang dikenali sebagai Football field.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here