Gambar hiasan. Foto - MOHD ADZLAN 29 JUN 2023.

GEORGE TOWN – Sebanyak 1,732 permit sembelihan luar membabitkan 5,756 ekor ternakan bagi ibadah korban dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang tahun ini.

Pengarahnya, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, jumlah permit pada tahun ini meningkat berbanding 714 permit sembelihan luar membabitkan 3,002 ekor ternakan yang dikeluarkan tahun lalu.

Jelasnya, peningkatan itu disebabkan kesedaran pemain industri dan kempen yang dijalankan JPV negeri berhubung keperluan permohonan permit.

Saira Banu.

“Kebiasaannya semua penyembelihan dilaksanakan di dalam rumah penyembelihan diluluskan dan rumah penyembelihan dilesenkan di bawah Akta Rumah Penyembelihan (Penswastaan) 1993.

“Bagaimanapun, disebabkan permintaan dan peningkatan jumlah penyembelihan pada Hari Raya Aidiladha, dengan merujuk kepada Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009, penyembelihan bagi tujuan korban dibenarkan di luar rumah penyembelihan diluluskan atau rumah penyembelihan dilesenkan.

“Penyembelihan luar ini hanya dibenarkan selama empat hari iaitu pada Hari Raya Aidiladha dan Hari Tasyrik bermula pada 17 sehingga 20 Jun selain, tempat yang dipilih perlulah bersesuaian, tidak menyebabkan pencemaran serta mengganggu orang awam,” katanya dalam kenyataan media.

Tambah beliau, bekalan ternakan ibadah korban di negeri juga mencukupi dengan kira-kira 6,000 ekor ternakan ruminan tersedia dan 80 peratus daripadanya adalah ternakan lembu.

“Seramai 39 pihak berkuasa veterinar dan 15 pegawai penguat kuasa akan menjalankan pemantauan dan pemeriksaan ternakan di lokasi sembelihan bagi memastikan ternakan bebas dari sebarang penyakit,” katanya. – MalaysiaGazette