Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil bercakap pada media selepas Penyerahan Sumbangan Kotak RAHMAH MYDIN Prihatin di Mydin Mart Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 15 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi menasihat semua stesen televisyen agar berjumpa dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membincangkan garis panduan tertentu sebelum menjemput pendakwah selebriti untuk menyertai program mereka.

Menterinya, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, perkara itu perlu digerakkan supaya Jakim dapat meneliti latar belakang dan kefahaman seseorang pendakwah selebriti sebelum dibenarkan untuk menyertai sebarang program televisyen.

“Saya lihat mereka (Jakim) perlu bantu untuk meneliti asatizah (ustaz-ustaz) yang dijemput dan walaupun kita berikan ruang kepada semua tapi bila melibatkan aspek agama, saya rasa perlu ada sedikit penyelarasan dengan pihak Jakim dan YADIM (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia).

“Saya akan meminta semua (stesen) penyiar untuk mengadakan perbincangan dengan Jakim dan YADIM untuk penyelarasan tersebut,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian Mydin Mart di Mydin Pantai Dalam, di sini, hari ini.

Fahmi menjawab pertanyaan media samada perlu pihak penyiar menetapkan garis panduan terhadap pendakwah selebriti untuk disiarkan di stesen masing-masing.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, adalah wajar Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk memberi masa kepada pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid selepas diberhentikan dua kali daripada bersiaran langsung.

Jelasnya, Jakim sudah membuat teguran kepada Don Daniyal berhubung isu kata-kata beliau menyatakan hadis memandang wajah guru lebih baik daripada sedekahkan 1,000 ekor kuda di jalan Allah.

“Saya rasa wajar untuk kita berikan sedikit masa sebelum kita jemput beliau semula,” katanya.

Semalam, Don Daniyal menjelaskan petikan yang dilontarkan beliau dalam sebuah program siaran langsung televisyen bukan hadis lemah (dhaif).

Sebaliknya, kata-katanya adalah daripada petikan seorang ulama, Imam An Nawawi Al Bünyan’t dalam kitabnya yang menghuraikan Syarah Tanqihul Qaul Al Hadith.

Dakwa Don Daniyal, tidak mungkin untuk seorang iman Masjidil Haram membuat kekhilafan.

“Beliau juga merupakan orang Melayu (Nusantara) yang menjadi imam Masjidil Haram.

“Mana mungkin imam ini menulis perkara yang salah dan kalau saya  memetik kitab itu maksudnya imam itu juga melakukan kesilapan.

“Imam ini dimakamkan perkuburan Ma’la. Kalau kata saya bagi hadis tidak betul. Dua ulama ini kena ban dulu,” katanya dalam satu sidang media di Putrajaya semalam. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here