Nurul Fadzilah Kamaluddin
Nurul Fadzilah Kamaluddin

KUALA LUMPUR – Rancangan kerajaan untuk membawa tenaga pengajar bahasa Inggeris dari Singapura dilihat sebagai usaha untuk meminggirkan guru-guru aliran itu.

Ketua Srikandi Muda Bersatu Malaysia, Nurul Fadzilah Kamaluddin berkata, seharusnya langkah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tidak dilaksanakan kerana kerajaan seharusnya memandang tinggi kepada institusi pendidikan dalam negara.

“Walaupun telah dijelaskan oleh Anwar beberapa perkara berkenaan perbincangan tersebut, ia seakan-akan telah memberi satu penghinaan kepada guru-guru di dalam Malaysia.

“Ramai guru-guru terlatih bersusah payah belajar dan bermula dari bawah, sertai kursus, pelajari banyak ilmu yang selari dengan arus teknologi masa kini dan banyak lagi.

“Kerajaan juga harus beri penghargaan kepada guru-guru yang bertungkus lumus mengajar pelajar-pelajar khususnya yang berada di kawasan pedalaman.

“Kerajaan seharusnya cari solusi untuk menangani dan bukan terus beri jawapan seolah-olah ‘tangkap muat’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nurul Fadzilah merujuk kenyataan Anwar bahawa cadangan membawa tenaga pengajar bahasa Inggeris dari Singapura, hanya sebagai sukarelawan bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan di kawasan pedalaman.

Anwar menjelaskan, cadangan itu ibarat skim bantuan daripada segi diplomasi antara negara dan bukan bermaksud Malaysia mahu melantik guru bahasa Inggeris dari republik berkenaan.

Mengulas lanjut, Nurul Fadzilah berkata, kerajaan seharusnya perhalusi silibus dalam negara terlebih dahulu dan memanggil semula guru-guru bahasa Inggeris yang sangat berpengalaman sama ada yang masih dalam perkhidmatan atau sudah tamat dan mengadakan perjumpaan dan perbincangan.

Kerajaan juga katanya, perlu mempunyai rancangan atau kursus khas terhadap guru-guru, khususnya mereka yang mengajar di kawasan pedalaman agar kaedah pedagogi dalam pembelajaran dapat diterapkan.

“Ini seharusnya dilakukan terlebih dahulu tanda kerajaaan “pandang tinggi” terhadap institusi pendidikan dalam negara kita,” katanya lagi.

Dalam lawatan rasmi Perdana Menteri Singapura ke Malaysia baru-baru ini, kerajaan berbincang dengan negara jiran itu mengenai kemungkinan negara republik tersebut menghantar tenaga pengajar untuk mengajar bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain di beberapa kawasan di seluruh negara.

Anwar dilaporkan berkata, perkara itu disentuhnya dalam pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya dari Lawrence Wong di Kompleks Seri Perdana. – MalaysiaGazette