Dominic Lau

KUALA LUMPUR – Penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan perpaduan akan mencetuskan gelombang inflasi yang baharu, jelas Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

Beliau sinis mendakwa mekanisme subsidi diesel oleh kerajaan yang langsung tiada “budi” serta membebankan banyak sektor di negara ini.

“Kerajaan Madani tetap enggan mendengar tuntutan dan cadangan pengusaha dan terus bertegas dengan keputusan mereka.

“Sebagai contoh, lori pengangkut bahan binaan tidak mendapat subsidi diesel daripada kerajaan malah kenaikan harga juga tidak dibenarkan, yang pasti menambah beban kepada pengusaha.

“Jika pengusaha tidak dapat menanggung kos yang tinggi, langkah terakhir mereka adalah menutup perniagaan. Adakah ini akibat yang diingini oleh kerajaan Madanon?” soal Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

Dominic berkata demikian mengulas langkah penyasaran kerajaan terhadap subsidi diesel yang ditetapkan sebanyak RM3.35 seliter sejak 10 Jun lalu.

Dalam pada itu, kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying bahawa negara kehilangan sehingga RM4.5 juta setiap hari ekoran aktiviti penyeludupan juga amat tidak tepat.

Dominic yang sangsi dengan pendedahan itu berkata jika angka ini benar, maka kerajaan mengalami kerugian melebihi RM100 juta sebulan.

“Berapa buah lori tangki minyak dan kapal nelayan diperlukan untuk menyelundup diesel sebesar ini? Adakah aktiviti penyeludupan sebesar ini langsung tidak menarik perhatian pihak berkuasa sempadan sepanjang ini?” soal Dominic lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here