Gambar hiasan

HULU SELANGOR – Kecederaan teruk di bahagian dada punca kematian seorang lelaki yang ditemui dalam kawasan semak di Jalan Besar Felda Soeharto, di sini, 15 Jun lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, penemuan itu hasil daripada bedah siasat di Hospital Kuala Kubu Bharu, baru-baru ini.

“Post-mortem (bedah siasat) telah dilakukan di Hospital Kuala Kubu Bharu dan punca kematian adalah severe chest injury,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Asri juga berkata, siasatan awal mendapati satu laporan polis telah dibuat seorang lelaki lndia Muslim mengenai kehilangan bapanya pada 9 Jun lalu.

“Motosikal yang dinaiki oleh bapanya disyaki terbabas semasa melalui Jalan Besar Felda Soeharto.

“Penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Katanya lagi, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pihak polis meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kemalangan ini untuk tampil membantu siasatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette