Bangunan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

KUALA LUMPUR – Pelantikan 200 orang Duta Online dalam kalangan kakitangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merupakan satu tindakan yang amat merugikan kerana tenaga dan masa penjawat awam ini amat diperlukan bagi menjalankan tugas hakiki mereka.

Bekas Menteri KPKT, Datuk Zuraida Kamarudin berkata, yang dikhuatiri, bukan sahaja perkara ini akan menganggu kerja hakiki kakitangan, tetapi juga apakah kakitangan kerajaan ini akan digunakan untuk menjadi jentera politik kepada parti pemerintah.

Lagipun, katanya, pentadbiran Kerajaan Malaysia mempunyai jentera komunikasi yang mencukupi.

“Kita mempunyai Jabatan Penerangan (di bawah Kementerian Komunikasi), Jabatan Komunikasi Komuniti [J-Kom] dan juga Unit Komunikasi Korporat bagi setiap kementerian dan agensi di Malaysia.

“Jadi apa gunanya melantik 200 orang kakitangan awam untuk menjadi Duta Online KPKT?,” soal beliau.

Zuraida Kamaruddin

Sebaliknya, Zuraidamelihat penubuhan Duta Online KPKT ini adalah salah satu usaha untuk menjadikan jentera kerajaan dari kalangan penjawat awam untuk diserap menjadi jentera politik.

“Tindakan Nga Kor Ming ini merupakan satu langkah yang amat dangkal dan tidak beretika dalam menerajui sesebuah kementerian,” ujarnya yang juga Timbalan Presiden Muafakat Nasional.

Zuraida berkata, Kor Ming seharusnya memberi fokus kepada tanggungjawab utamanya iaitu mengendali isu-isu dan inisiatif berkenaan perumahan dan kerajaan tempatan yang menjadi ‘perniagaan teras’ KPKT dengan lebih efektif.

Bukannya menggunakan kakitangan kerajaan untuk menjadi cyber trooper demi survival politik beliau, tegas Zuraida lagi.

Mengulas penubuhan duta tersebut yang didakwa Kor Ming untuk menangkis fitnah serta menyampaikan maklumat sahih dan polisi kerajaan secara efektif, Zuraida berkata. beliau memahami KPKT adalah antara kementerian paling banyak dikritik tidak kira gabungan parti mana yang memegang tampuk pemerintahan negara.

“Semasa saya memegang jawatan menteri di KPKT, saya turut menerima kritikan yang hebat sekiranya berlaku sesuatu permasalahan yang melibatkan hal-hal kementerian, walaupun punca daripada masalah tersebut berlaku sebelum saya memegang jawatan menteri KPKT.

“Ini adalah lumrah, yang mana kita sebagai pemimpin di dalam negara demokrasi, harus sentiasa menerima kritikan dan komen daripada rakyat sama ada negatif ataupun positif.

Setiap teguran daripada rakyat memerlukan respons dari segi tindakan proaktif bagi menyelesaikan sebarang permasalahan yang ditimbulkan,” tambahnya,

Justeru, kata Zuraida, KPKT atau mana-mana kementerian lain tidak perlu menjadi defensif setiap kali dikritik kerana rakyat adalah pelanggan dan kritikan adalah maklum balas bagi meningkatkan kualiti kerja kementerian. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here