KUALA LIPIS – Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud 2, Besut Terengganu ditemui mati dipercayai lemas di kawasan lombong emas di Jalan Sg Taban, Kg. Merapoh, di sini, jam 2.50 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Ismail Man berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7 malam pada 15 Jun hasil maklumat awam dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Mangsa bernama Muhammad Adam Harris Mohd Azman, 18 tahun bersama sepupunya berusia 13 tahun berada di kawasan bekas lombong emas itu untuk melakukan aktiviti memancing.

“Mangsa berjaya ditemui oleh pasukan mencari dan penyelamat bersama orang kampung.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan Klinik Kesihatan Merapoh jam 3:00 pagi,” katanya.

Ismail berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk tindakan lanjut.

“Siasatan kes ini diklasifikasi sebagai mati mengejut.

“Warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis mengucapkan takziah buat keluarga mangsa.

“Pihak polis menasihati orang ramai supaya menjaga keselamatan diri semasa melakukan aktiviti di air dengan persiapan jaket keselamatan,” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa bertindak turun ke dalam lombong tersebut dan berenang kira-kira 12 meter dari daratan untuk mendapatkan mata joran yang terputus.

“Menurut sepupunya, semasa mangsa sedang berpatah balik ke darat, mangsa kelihatan tidak terdaya, lalu lemas dan tenggelam.

“Semasa kejadian, mangsa hanya berdua dengan sepupunya sahaja di lokasi kejadian dan keadaan lombong tersebut terdapat rumpai air,” katanya lagi. – MalaysiaGazette