Lembu sado seberat 1.1 tan antara 75 ternakan dikorban pada Hari Raya Aidiladha di Masjid Jamek Hashim Yahaya, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Lembu ‘sado’ baka Brahman seberat 1.1 tan antara ternakan yang mencuri tumpuan orang ramai untuk dikorbankan sempena sambutan Aidiladha di Masjid Jamek Hashim Yahaya, di sini, hari ini.

Lembu sado yang disumbangkan sebuah yayasan itu memerlukan masa selama satu jam 30 minit untuk ditumbangkan termasuk proses melapah susulan haiwan ternakan menyamai hampir tiga ekor lembu saiz biasa.

Setiausaha masjid berkenaan, Zamri Abdul Rahman berkata, ini merupakan tahun ketiga masjid berkenaan menerima sumbangan lembu sado bagi ibadah korban.

Jelas beliau, selain lembu sado, sebanyak 17 ekor lembu dan 58 ekor kambing dikorbankan hari ini dan ia dilaksanakan secara bergotong-royong melibatkan 150 ahli kariah dan penduduk sekitar.

Zamri.

“Jumlah (haiwan) korban tahun ini terdiri daripada sumbangan serta milik individu yang melaksanakan ibadah korban.

“Haiwan korban tahun ini juga adalah terbanyak berbanding tahun-tahun sebelumnya dan daging korban akan diagihkan kepada fakir miskin, ahli kariah masjid serta penduduk sekitar.

“Bagi lembu sado, daging korban haiwan itu diagihkan mengikut syarak selain ada bahagian disimpan untuk dimasak pada hari Jumaat nanti sekali gus diagihkan kepada 1,000 orang yang terdiri daripada jemaah pada hari tersebut serta kariah sekitar,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui hari ini.

Mengulas lanjut Zamri berkata, semua haiwan korban itu akan dikorban pada hari raya pertama dalam tempoh enam jam bermula jam 10 pagi.

“Lembu sado merupaka haiwan terakhir akan dikorbankan tambahan pula ia menjadi tarikan terutamanya kepada kanak-kanak memandangkan ia jarang dijumpai,” katanya. – MalaysiaGazette