Abang Johari Tun Openg

KUCHING – Sarawak akan memperkenalkan mekanisme bagi mengawal harga jualan beberapa haiwan ternakan tahun depan, memandangkan dalam keadaan semasa harganya agak tinggi di negeri ini berbanding negeri-negeri lain.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya telah ada satu cara yang boleh digunakan bagi mengawal harga ternakan seperti sapi, dan beliau akan membuat pengumuman mengenainya nanti.

“Saya difahamkan hari ini 88 ekor (ternakan) menjadi ternakan korban, kebanyakan adalah sapi. Walaupun harga agak tinggi kalau dibandingkan dengan tempat lain, umat Islam di sini tetap dapat menunaikan ibadah korban dengan baik,”  katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Korban Perdana anjuran Majlis Islam Sarawak di Dewan Hikmah, yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi di sini, hari ini.

Terdahulu Abang Johari menyempurnakan acara simbolik penyembelihan yang melibatkan tiga ekor lembu, yang diagihkan kepada 100 orang penerima asnaf sekitar Kuching.

Di bahagian Kuching, 63 tempat melibatkan masjid, surau dan premis beberapa agensi telah berdaftar bagi melaksanakan ibadah korban, melibatkan 88 ekor lembu korban yang akan diagihkan kepada 1,240 orang penerima. – Bernama