Foto FB Perak FC.

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sementara pasukan Perak FC, Bobie Farid Shamsudin tidak menafikan kelabnya sedang mengalami isu tunggakan seperti desas desus yang beredar di laman media sosial, baru-baru ini.

Menerusi laman Facebook TBG Super Fans, Bobie menjawap soalan dari salah seorang peminat mengenai isu tunggakan gaji yang melanda pasukan

“Betul (isu gaji). Jual jersi, jual simkad. Itu sahaja yang ada. Sabah, Kedah, Sri Pahang dan Kuala Lumpur City lagi banyak tertunggak,” katanya.

Perak dipercayai mengalami tunggakan gaji setengah bulan dan isu itu boleh berlarutan sekiranya tiada sokongan dari beberapa pihak.

“Apa nak buat sokongan tiada langsung dari penaja, GLC, jualan jersi lemah, tiket nak murah kalau mahal peminat tak nak datang,” katanya.

Sebelum ini, pemain dari Sabah dan Sri Pahang seolah-olah memberi gambaran bahawa mereka sudah lama tidak menerima gaji dari majikan mereka.

Penjaga gol Sri Pahang, Muhammad Azfar Arif memuat naik sekeping foto di Insta Story bertulis ‘tidak ada manusia yang sedang baik-baik saja di dunia ini, semua sedang berjuang dengan ujian masing-masing’.

Hantaran tersebut semakin kelihatan seperti gesaan kepada pihak pengurusan untuk menyelesaikan isu gaji apabila Azfar Arif menulis kapyen ‘kita tunggu esok (Jumaat) macam mana ada tidak’.

Selain itu, seorang lagi penjaga gol Sri Pahang iaitu Zarif Irfan pula membuat hantaran berbentuk sindirian kepada pihak pengurusan yang sering mengelak daripada menjalankan tanggungjawab mereka.

Manakala Syazwan Andik memuat naik kapsyen ‘dua kali raya’ yang seolah-olah memberi gambaran bahawa masalah ini berlaku sejak sambutan Hari Raya Aidilfitri pada April lalu sehingga perayaan Hari Raya Aidiladha. – MalaysiaGaazette