KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail akan menyumbang separuh gaji pada bulan hadapan bagi meringankan beban Selangor FC (SFC) untuk membayar denda yang dikenakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Rizam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor memberitahu, langkah itu diambil kira atas semangat solidariti bersama SFC.
“Saya berharap penyokong dapat terus memberi sokongan teguh kepada SFC agar semua pemainnya bersemangat mendepani cabaran ini. Semoga Gergasi Merah akan kekal unggul dalam bola sepak Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sebelum ini, penyanyi rap terkenal merangkap ADUN Lembah Jaya, Altimet dan ADUN Kota Damansara, Izuan Kasim turut meluahkan langkah yang sama membantu SFC.
Semalam, MFL mengenakan empat bentuk hukuman terhadap SFC susulan tindakan pasukan itu ‘tidak hadir’ pada aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, 10 Mei lalu.
Hukuman yang diputuskan menerusi mesyuarat Lembaga Pengarah MFL itu termasuk denda RM100,000 yang mana wang berkenaan akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan kelak.
Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu memaklumkan skuad Gergasi Merah turut dikenakan tiga lagi hukuman termasuk bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah, JDT dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.
Satu lagi hukuman yang dikenakan adalah perlawanan Liga Super musim ini membabitkan SFC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga akan dimainkan tanpa penonton. – MalaysiaGazette