KOTA TINGGI – Mayat seorang daripada empat remaja yang lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Lompat, Tanjung Balau, Penawar dekat sini pagi tadi, ditemui petang ini.
Mayat berkenaan dipercayai Alif Taqiudin Kamal Hasrul Mohamad ditemukan pukul pukul 1.25 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Mohd Syamsuri Mohamad berkata, mayat tersebut ditemukan pasukan penyelamat dan orang ramai kira-kira 800 meter dari kawasan mangsa mandi.
“Ahli keluarga ketika ini membuat pengecaman mayat mangsa dan mayat dihantar ke Hospital Kota Tinggi. Operasi mencari tiga lagi mangsa sedang dilakukan sehingga kini.
“Kita berdepan cabaran ombak kuat dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam sidang akhbar di pos kawalan tempat kejadian di pantai Tanjung Lompat, Desaru Penawar di sini hari.

Dalam kejadian pukul 7.45 pagi tadi, seramai 15 remaja berkhemah sempena cuti sekolah di pantai berkenaan dan mandi sebelum enam daripadanya lemas.
Dua daripada mereka berjaya diselamatkan orang awam manakala empat yang lemas hilang sebelum seorang daripadanya ditemui tengah hari ini.
Syamsuri berkata, seramai 30 pasukan keselamatan terlibat iaitu polis, bomba, polis marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Persatuan Nelayan Tanjung Balau dan pelayar tempatan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Penawar, Penolong Kanan Peguasa Bomba Soleh Nasir berkata, kesukaran operasi tersebut adalah arus dasar laut yang kuat.
“Kita menggunakan teknik searching surface dalam operasi SAR ini dan keadaan pantai bergelora dan angin kuat ketika ini,” katanya.- MalaysiaGazette

















