KATHMANDU – Pasukan penyelamat Nepal masih meneruskan operasi mencari mangsa yang dikhuatiri terperangkap di dalam terowong jana kuasa hidroelektrik, seminggu selepas banjir dahsyat melanda negara ini.
Namun, harapan untuk menemukan mangsa yang masih hidup semakin tipis apabila pasukan penyelamat berdepan jalan buntu, selain tiada mangsa disahkan masih hidup setakat ini.
Kerajaan sebelum ini berkata, pihaknya percaya lebih 100 pekerja mungkin masih hidup di dalam beberapa terowong.
“Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan dan pasukan asing turut membantu di terowong hidroelektrik. Mereka terus bekerja walaupun berdepan kesukaran. Terdapat sejumlah besar lumpur, serpihan dan selut,” kata jurucakap Pihak Berkuasa Pengurangan Risiko dan Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDRRMA), Shanti Mahat.
Menurut angka NDRRMA, mereka yang dikhuatiri terperangkap adalah antara 639 pekerja sektor hidroelektrik yang masih hilang selepas lumpur dan serpihan melanda kawasan berkenaan pada 26 Ogos lalu.
“Dalam sesetengah keadaan, sukar untuk menemukan pintu masuk dan walaupun sudah ditemui, pasukan penyelamat mendapati terowong berkenaan tersumbat di bahagian dalam. Namun usaha masih diteruskan,” kata Mahat kepada AFP.
Pasukan penyelamat pada Isnin berjaya mengeluarkan sekurang-kurangnya tiga mayat dari dua terowong dan memasuki beberapa terowong sehingga beberapa ratus meter, sebelum terhalang oleh lumpur.
“Kami mempunyai akses kepada semua terowong, tetapi sukar untuk masuk kerana terdapat batu dan selut,” kata Menteri Tenaga Nepal, Biraj Bhakta Shrestha.
Pihak Berkuasa Elektrik Nepal berkata, 11 stesen jana kuasa hidroelektrik dan sebuah stesen jana kuasa solar dengan kapasiti gabungan 431.1 megawatt terpaksa menghentikan operasi.
Jumlah itu bersamaan kira-kira 10 peratus daripada kapasiti penjanaan elektrik terpasang negara berkenaan.
Sebanyak 15 projek tenaga lain yang sedang dalam pembinaan dengan kapasiti dirancang 470 megawatt turut mengalami kerosakan. – Agensi
















