PUTRAJAYA – Majlis Sukan Negara (MSN) membuat unjuran awal seramai 28 atlet Malaysia yang berpotensi layak ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, proses persiapan menuju LA28 sebenarnya sudah bermula memandangkan tempoh kelayakan bagi sesetengah sukan bermula seawal tahun ini.
Beliau berkata, MSN telah mengenal pasti atlet berpotensi serta laluan kelayakan mereka dalam pelbagai sukan termasuk renang, terjun, olahraga, berbasikal, pelayaran, memanah, badminton dan hoki.
“MSN telahpun membuat permintaan awal atlet-atlet Malaysia yang berpotensi serta layak, laluan kelayakan mereka ke LA2028,” katanya pada sidang media di lobi Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan angka 28 atlet itu bukan sasaran muktamad kerana ia tertakluk kepada prestasi serta proses kelayakan setiap sukan dan ia berubah dari semasa ke semasa.
“Apa yang lebih penting adalah hala tuju kita untuk menuju ke LA2028 itu telahpun dirangka bermula sekarang,” katanya.
Taufiq berkata, program Road to Gold (RTG) akan terus diperkasakan selain sebarang penyesuaian dan penambahbaikan yang diperlukan akan dilaksanakan dengan segera.
“LA28 membuka peluang baharu kepada Malaysia menerusi sukan squash yang akan membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik.
“Pendekatan kita menuju LA2028 perlu lebih tersusun dan bermula lebih awal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















