PUTRAJAYA – Malaysia bakal menghantar seramai 356 atlet bersama 185 jurulatih dan pegawai ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, menjadikan keseluruhan kontinjen negara seramai 541 orang.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kontinjen negara akan mengambil bahagian dalam 30 jenis sukan, 40 disiplin dan 158 acara pada temasya berkenaan.
Beliau berkata, dari jumlah atlet itu, 15 merupakan atlet di bawah program Road to Gold (RTG), 158 atlet podium, 14 pelapis manakala 169 lagi berada dalam program berfasa.
“Yang menarik, 110 atlet yang dihantar ini berusia di bawah 21 tahun. Maknanya pelapis-pelapis kita cukup ramai,” katanya pada sidang media di lobi Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini, hari ini.
Menurut beliau, komposisi kontinjen itu turut merangkumi 150 atlet wanita atau 42 peratus, manakala 206 atlet lelaki atau 58 peratus.
Taufiq berkata, persiapan kontinjen negara kini berada pada peringkat akhir dan beliau sendiri akan turun padang melawat beberapa lokasi latihan atlet bersama Chef de Mission (CDM), Datuk Mohd Sumali Reduan dan barisan timbalan CDM.
Katanya, sebarang perkara yang boleh menjejaskan persiapan atlet termasuk aspek latihan, sains sukan, perubatan dan kebajikan perlu diselesaikan dengan segera.
“Yang paling penting bukan kita ingin menghantar atlet yang boleh membawa pingat semata-mata, tetapi kita kena tengok juga langkah ke hadapan masa depan sukan negara kita.
“Bila kita dapat melahirkan lebih ramai lagi atlet-atlet pelapis, maka kita tiada satu kekosongan untuk kita mencari bakat-bakat baharu,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Taufiq berkata, sasaran pingat kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 akan diumumkan pada 8 September ini.
Beliau berkata, pengumuman itu akan dibuat serentak dengan majlis penyerahan Jalur Gemilang dan perlepasan kontinjen negara.
“Kita ada secara detail dan perincian pun kita akan berikan pada 8 hari bulan bersekali dengan sasaran pingat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata isu penginapan kontinjen yang tidak berpusat di satu lokasi turut dibangkitkan dalam mesyuarat.
“Penginapan itu memang jaraknya agak jauh, maksudnya ia tidak berpusat di satu tempat sahaja. Jadi ada beberapa tempat yang agak jauh juga sebenarnya.
“Tetapi kerana itu kita akan pantau khususnya untuk keselesaan atlet-atlet kita. Itu yang paling penting dan tidak mengganggu proses perlawanan.
“Setakat ini tiada tambahan peruntukan diperlukan dan persiapan masih menggunakan kos sedia ada seperti yang telah ditetapkan sebelum ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















