Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – “Saya jangkakan Perdana Menteri hendak umumkan satu mekanisme rurunkan harga barang. Namun yang diumumkan hanyalah penurunan harga telur yang melibatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM100 juta sahaja,” kata bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hantaran di laman Facebook beliau itu dilihat menyindir pengumuman yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berhubung penurunan harga telur ayam sebanyak tiga sen sebiji.

Tambah Muhyiddin, beliau menjangkakan Perdana Menteri akan mengumumkan pakej ekonomi dan bantuan rakyat bernilai RM4 bilion yang bersamaan dengan jumlah penjimatan perbelanjaan kerajaan hasil penyasaran subsidi.

Ini kerana menurut Pengerusi Perikatan Nasional itu, banyak barang dan perkhidmatan lain yang mengalami kenaikan harga susulan penarikan balik subsidi diesel.

Semalam, kerajaan memutuskan harga runcit telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji selaras usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat.

Anwar berkata, kini harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C masing-masing turun kepada 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji berkuat kuasa semalam. – MalaysiaGazette