Peniaga maut selepas terlanggar lembu di lebuh raya PLUS. Foto ihsan PDRM

KUALA LUMPUR- Seorang peniaga maut selepas kereta yang dipandunya melanggar seekor lembu di Kilometer 24.9 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) dari arah Plaza Tol Jalan Duta menghala ke Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kejadian berlaku jam 4.55 pagi tadi.

Katanya, mangsa yang memandu di lorong paling kanan terlanggar seekor lembu yang berada di lorong yang sama sebelum terbabas melanggar besi tengah pembahagi jalan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette