Mohideen Abdul Kader

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa kebanyakan peniaga di negeri ini tidak patuh Akta Kawalan Harga 1946 Pindaan 1973, Seksyen 8(1) yang mewajibkan mereka mempamer tanda harga pada barangan bagi dijual.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, ia berdasarkan tinjauan CAP terhadap peniaga gerai makanan, pasar basah, pasar malam, restoran dan kedai runcit.

“Kesalahan utama yang dikenal pasti ialah gerai jualan makanan dan minuman tidak mempamerkan sebarang tanda harga yang boleh dilihat, diikuti dengan restoran yang beri tanda harga mengelirukan kepada pengguna.

“Ketiadaan tanda harga telus ini sering menyebabkan pengguna dikenakan bayaran berlebihan kerana tidak mempunyai senarai harga yang didokumenkan bagi dirujuk apabila berlaku pertikaian berhubung bil mereka.

“Kenaikan harga diesel baru-baru ini juga berpotensi membawa kepada peningkatan kos makanan dan sebab ini penting bagi pengguna untuk mengetahui harga lebih awal sebelum membelinya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, mengikut Akta Kawalan Harga, adalah menjadi tanggungjawab penjual bagi memastikan pembeli dimaklumkan mengenai harga tetapi penguatkuasaan yang tidak mencukupi menjejaskan keberkesanan pelaksanaan undang-undang.

“Sehubungan itu, CAP menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil tindakan tegas mengikut Seksyen 8(1) Akta Kawalan Harga 1946 Pindaan 1973.

“CAP juga menggesa penguatkuasaan yang lebih ketat dan pendakwaan terhadap semua pesalah demi menjaga hak pengguna dan memastikan amalan perdagangan yang adil,” katanya. – MalaysiaGazette