Istana Kehakiman, Putrajaya

PUTRAJAYA – Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) hari ini dibenar meneruskan permohonan semakan kehakiman atas isu pemberian khas peruntukan 40 peratus kepada Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Keputusan itu diputuskan sebulat suara oleh tiga panel hakim dipengerusikan oleh Datuk P Ravinthran bersama-sama Datuk Mohd Nazlan Ghazali dan Datuk Choo Kah Sing.

Panel hakim juga sebulat suara menolak rayuan oleh Kerajaan Persekutuan bagi membatalkan semakan kehakiman oleh SLS ini.

Kerajaan Persekutuan sedang merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, pada 11 November 2022, yang memberi kebenaran kepada SLS meneruskan semakan kehakiman berhubung perkara itu bagi memaksa hasil persekutuan diperoleh daripada negeri itu dipulangkan seperti peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 11 November 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Ismail Brahim membenarkan permohonan SLS bagi mendapatkan kebenaran bagi meneruskan semakan kehakiman bahawa ia mempunyai locus standi untuk berbuat demikian kerana ia adalah litigasi berkepentingan awam.

Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memperoleh perintah penangguhan bagi menghalang Mahkamah Tinggi mendengar merit kes itu sementara menunggu rayuan.

SLS memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 2022 bagi membatalkan warta Kerajaan Persekutuan mengenai geran tahunan sebanyak RM125.6 juta untuk Sabah dengan mendakwa ia melanggar hak hasil negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). -MalaysiaGazette