Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bercakap pada media sempena Hari Terbuka BUDI-MADANI Agri-Komoditi di MARDI Klang, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 08 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) telah meluluskan sebanyak 100,000 permohonan bantuan tunai subsidi diesel di bawah inisiatif BUDI MADANI.

Permohonan yang diluluskan meliputi pemilik kenderaan diesel individu bagi BUDI Individu serta petani dan pekebun kecil untuk BUDI Agri-Komoditi.

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, seramai 30,000 pemohon telah menerima bayaran bantuan tunai pada 10 Jun lalu.

Manakala 46,000 pemohon akan menerima bayaran pada hari ini.

Bagi mereka yang membuat permohonan sebelum hujung bulan Jun ini, pemohon akan menerima bayaran pada awal Julai 2024.

Katanya, pemohon yang layak akan menerima bantuan RM200 secara bulanan melalui akaun bank masing-masing atau mendapatkan bayaran tunai di kaunter-kaunter Bank Simpanan Nasional.

“Matlamat penyasaran subsidi diesel adalah untuk menumpukan bantuan kepada sektor yang layak dan golongan masyarakat yang memerlukan.

“Bantuan tunai yang ditetapkan pada RM200 sebulan adalah untuk menampung perbelanjaan tambahan diesel bagi lebih 80 peratus pemilik kenderaan diesel individu.

“Saya menyeru kepada rakyat Malaysia yang layak, supaya segera mendaftar bagi mendapatkan bayaran bantuan tunai diesel bulan Jun.

“Kerajaan komited untuk menyalurkan bantuan tunai BUDI MADANI bermula pada bulan permohonan dibuat,” katanya dalam kenyataan.

Dianggarkan seramai 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung Malaysia layak untuk menerima BUDI Individu.

Manakala seramai hampir 400,000 petani dan pekebun skala kecil berkelayakan menerima manfaat daripada BUDI Agri-Komoditi.

Bagi pemohon individu yang gagal, mereka boleh membuat semakan permohonan serta mengemukakan rayuan di laman sesawang BUDI MADANI iaitu https://budimadani.gov.my.

Bagi pemohon petani dan pekebun kecil yang masih belum berdaftar di agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dinasihatkan untuk berbuat demikian terlebih dahulu.

Selepas itu, mereka digalakkan mengemukakan permohonan BUDI MADANI atau mengemukakan rayuan di laman sesawang BUDI MADANI.

Untuk mengetahui lebih lanjut berhubung syarat-syarat kelayakan BUDI MADANI, sila layari https://budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan BUDI MADANI di nombor 1-800-88-2747 / 03-8882 4565 / 03-8882 4566 atau secara emel di [email protected].

Pertanyaan dan maklumat lanjut juga boleh diperoleh di semua pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri di seluruh Semenanjung Malaysia.-MalaysiaGazette