Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR –  Keputusan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan pengosongan kerusi DUN Nenggiri membuktikan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah betul.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, notis daripada parti itu kepada tujuh wakilnya yang bertindak menyokong Perdana Menteri mengikut lunas undang-undang.

“Kekosongan ini berlaku susulan notis yang dihantar oleh Bersatu kepada Speaker DUN Kelantan berhubung terhentinya keahlian ADUN Nenggiri dari parti Bersatu secara serta merta kerana telah melanggar Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu.

“Keputusan Speker DUN Kelantan ini adalah selaras dengan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan yang memperuntukkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN yang wakil rakyatnya telah terhenti keahlian partinya secara serta-merta,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini.

DUN Kelantan hari ini mengumumkan kerusi Nenggiri kosong setelah pihaknya menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun.

Ia ekoran Bersatu pada 12 Jun lalu yang memaklumkan hilang keahlian Bersatu dan seterusnya berlaku kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.

Keputusan itu dibuat selepas Mohd Azizi yang juga ADUN Bersatu yang juga Ahli Parlimen Gua Musang sebelum ini mengikrar sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, peruntukan tersebut adalah selaras dengan undang-undang anti-lompat parti di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Bersatu bersama-sama parti-parti anggota Perikatan Nasional bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil DUN Nenggiri yang akan diadakan pada tarikh yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya.

Bersatu sebelum ini menghantar notis pemberhentian keahlian kepada enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) yang juga ADUN Nenggiri, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Seorang lagi ialah ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Ia selepas mereka gagal memberi sebarang jawapan berkaitan surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu. – MalaysiaGazette