Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia kini boleh mengeksport buah durian segar ke China, kata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu dicapai setelah kedua-dua negara memeterai Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar.

“Melalui pemeteraian ini, luang pasaran eksport baharu bagi buah durian segar dari Malaysia ke negara China telah dibuka.

“Sebelum ini, Malaysia telah diberikan akses pasaran eksport ke China bagi durian dalam bentuk ulas dan pes pada tahun 2011 dan buah durian sejuk beku dalam bentuk biji pada tahun 2018,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Protokol tersebut dimeterai antara Mohamad dan Menteri General Administration of Customs of the People’s Republic of China (GACC), Yu Jianhua.

Dokumen Protokol tersebut diserah terima antara Mohamad dan Duta Besar Republik Rakyat China, Ouyang Yujing semasa Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Persetujuan antara Perdana Menteri Malaysia dan Premier Republik Rakyat China.

Jelas Mohamad, tambahan akses durian segar ini akan mengembangkan industri tanaman durian tempatan dan meningkatkan nilai eksport agromakanan ke luar negara.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, KPKM yakin pelaksanaan protokol ini akan menggalakkan perkembangan industri tanaman buah durian tempatan dan membuka peluang kepada lebih 63,000 pengusaha durian di seluruh negara.

“Melalui protokol ini juga, pengusaha durian yang berdaftar dan mendapat kelulusan daripada GACC berdasarkan pematuhan kepada syarat-syarat dalam Protokol tersebut dibenarkan untuk mengeksport buah durian segar ke negara China,” katanya.

Dalam tempoh lima tahun antara 2018 hingga 2022, jumlah nilai eksport durian ke luar negara berkembang sebanyak 256.3 peratus atau peningkatan sebanyak RM822.8 juta.

Pada 2022, eksport durian Malaysia ke seluruh dunia berjumlah RM1.14 bilion.

Secara keseluruhan, durian merupakan penyumbang utama (58.6 peratus) kepada nilai eksport buah-buahan negara pada 2022 daripada keseluruhan nilai eksport buah-buahan bernilai RM2.01 bilion.

China merupakan pasaran eksport utama buah durian dari Malaysia dengan nilai eksport sebanyak RM887 juta pada 2022.

Nilai eksport durian diunjur akan terus meningkat kepada RM1.8 bilion pada 2030. – MalaysiaGazette