Tun Abdul Hamid Mohamad

DALAM rencana ini kita hanya tumpukan kepada pusaka hartanah. Bagi orang Islam di Malaysia, pembahagian pusaka adalah mengikut hukum faraid. Bilangan penerima pusaka dan pemilik pusaka itu akan bertambah dari satu generasi ke satu generasi menjadikan bahagian seseorang itu semakin kecil.

Akibatnya, satu lot tanah yang kecil itu akan, selepas beberapa generasi, mempunyai pemilik bersama tidak berdaftar berpuluh-puluh orang. Mereka tidak memohon perintah pembahagian pusaka kerana bahagian masing-masing terlalu kecil dan tidak ada sesiapa di antara mereka yang sanggup mengumpulkan semua waris-waris itu untuk berulang alik ke pejabat tanah dan mengeluarkan perbelanjaan untuknya.

Walaunpun kedudukan tanah itu sesuai untuk pembangunan, katakanlah perumahan, ia tidak boleh dibangunkan kerana pemilik berdaftar telah meninggal dunia beberapa lama dahulu dan tanah itu tidak boleh dijual dan dipindah milik.

Walaupun, setiap satu pusaka itu kecil keluasannya, tetapi apabila dicampur pusaka berjuta-juta orang Melayu/Islam, maka jumlahnya adalah besar. Bayangkan sahaja keluasan sawah padi di kawasan Sabak Bernam Selangor, di kawasan Kerian Perak, Seberang Perai Utara, Kedah Utara, Perlis dan Kelantan yang luas terbentang. Tetapi, terfikirkah kita berapa juta orangkah pemiliknya? Saya percaya hampir kesemua tanah itu mempunyai masalah seperti yang saya sebutkan itu.

Cadangan

Buat permulaan, reformasi ini terpakai kepada tanah pertanian sahaja. Tanah pertanian ertinya tanah untuk bercucuk tanam seperti padi, getah dan lain-lain dan tidak ada rumah kediaman dibina di atasnya.

Saya cadangkan, kerajaan mengehadkan bilangan pemilik berdaftar bagi satu lot tanah pertanian tidak boleh lebih daripada satu orang bagi satu ekar ke bawah. Ertinya, jika keluasan tanah itu adalah satu ekar ke bawah, seorang. Jika keluasan lot itu kurang daripada dua ekar, juga seorang. Jika keluasan lot itu kurang daripada tiga ekar tetapi lebil dari dua ekar, dua orang dan seterusnya.

Dalam pembahagian pusaka, jika bilangan waris yang berhak melebihi had itu:

i. Jika semua waris bersetuju menjual, sama ada kepada waris atau bukan, mereka boleh menjualnya dan membahagikan hasilnya mengikut faraid.

ii. Jika waris tidak bersetuju menjual atau tidak ada pembeli, tanah itu akan dibeli oleh sebuah syarikat milik kerajaan yang ditubuhkan oleh kerajaan (Persekutuan atau Negeri). Syarikat itu akan membayar harga pasaran yang akan ditentukan oleh Jabatan Penilaian dan hasil jualan itu akan dibahagikan di antara waris-waris, mengikut faraid. Selepas itu, terserahlah kepada syarikat itu untuk menyewakannya semula, membangunkannya atau melakukan apa yang difikir sesuai.

Alasan-alasan bantahan

1. Menyalahi Syarak

Saya fikir masalah yang paling ditakuti oleh pemimpin-pemimpin politik untuk menangani masalah ini ialah mereka takut dituduh perbuatan itu menyalahi syarak. Penentang reformasi ini akan mengatakan faraid adalah cara pembahagian pusaka orang Islam yang ditetapkan Allah dalam al-Quran. Ia tidak boleh diubah.
Hujah saya ialah kita tidak mengubah hukum faraid; kita tidak mengubah waris-waris yang layak menerima pusaka; kita tidak mengubah bahagian yang layak diterima oleh seseorang waris; oleh itu ia tidak menyalahi syarak. Seseorang waris yang berhak menerima pusaka tetap berhak menerimanya, mengikut bahagian yang dia layak menerimanya. Cuma bezanya, jika bahagian pusakanya itu kurang daripada satu ekar tanah pertanian, dia akan menerima bahagiannya dalam bentuk wang. Dia boleh memiliki kesemua tanah itu jika dia sanggup membeli bahagian waris-waris lain.

Jika cadangan ini menyalahi hukum faraid sekalipun, saya menghujahkan bahawa ia dibenarkan syarak kerana:

i. Ia dilakukan dengan persetujuan waris-waris; atau

ii. jika tidak dengan persetujuan waris sekalipun, ia dilakukan dengan kuatkuasa undang-undang yang dibuat oleh Parlimen (Kerajaan/Pemerintah) untuk kepentingan awam.

Jika semua waris bersetuju, ia tidak menjadi isu.

Jika ia tidak dipersetujui oleh waris-waris, saya menghujahkan kerajaan dibenarkan oleh syarak untuk melakukannya atas alasan maslahah (kepentingan awam). Sebenarnya, kita telah melakukan hal seperti itu.

Misalnya:

i. Kita telah mengubah umur layak berkahwin daripada baligh kepada 18 tahun bagi lelaki dan 16 bagi perempuan – seksyen 8, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303).

ii. Dalam perbankan Islam, dalam mesyuarat ke 101 pada 20 Mei 2010, Lembaga Penasihat Syariah Bank Negara “telah memutuskan bahawa Bank Negara Malaysia sebagai pihak berkuasa boleh menghendaki institusi kewangan Islam untuk memberikan ibra’ kepada pelanggan mereka yang menyelesaikan obligasi hutang mereka yang timbul daripada kontrak berasaskan jualan (seperti bai` bithaman ajil atau murabahah) sebelum tempoh penyelesaian yang dipersetujui. Bank Negara Malaysia juga boleh menghendaki terma dan syarat ibra’ dimasukkan dalam perjanjian pembiayaan untuk menghapuskan sebarang ketidakpastian berkenaan dengan kelayakan pelanggan untuk menerima ibra’ daripada institusi kewangan Islam. Formula ibra’ akan ditentukan dan diseragamkan oleh Bank Negara Malaysia…”

Ini bercanggah dengan pendapat sebelumnya bahawa pemberian ibra’ adalah budibicara institusi kewangan.

2. Penentangan tuan-tuan tanah dan waris-waris atas alasan-alasan lain

Saya tidak fikir ada alasan yang kuat untuk menentang reformasi ini setelah alasan syariah dipatahkan. Waris-waris itu sendiri merungut mengenai masalah yang dihadapi mereka sekarang, terutama sekali jika terdapat satu dua orang yang keras kepala. Waris-waris yang hanya mempunyai bahagian pusaka yang kecil yang biasanya tidak akan melihat hasilnya akan menerima habuan. Mereka juga lebih berpelajaran dan pandai memperolehi maklumat untuk kepentingan diri mereka sendiri yang bererti mereka akan mengambil faedah daripada reformasi ini. Orang yang mendapat faedah daripadanya tidak akan menentang, lagi ramai yang mendapat faedah, lagi sedikit yang akan menentang.

Penyelesaian masalah rumit dengan reformasi mudah

Kerajaan hanya memerlukan majoriti mudah untuk membuat undang-undang untuk melakukan reformasi ini. Kerajaan (Parlimen) hanya perlu membuat sedikit pindaan kepada undang-undang berkenaan. Biarlah Peguam Negara menentukannya. Saya yakin dengan majoriti seperti sekarang pun kerajaan boleh melakukannya. Tidak ada sebab mengapa parti-parti dalam kerajaan tidak hendak menyokong. Malah, pembangkang juga sepatutnya menyokong.

Tanah orang bukan Islam

Walaupun masalah ini tidak terlalu serius kepada orang bukan Islam, reformasi ini boleh dipanjangkan kepada tanah orang bukan Islam dalam keadaan yang serupa supaya ia menjadi satu dasar kebangsaan. Saya tidak nampak apa-apa sebab bagi mereka membantahnya.

Pelaksanaan

Saya fikir, buat permulaan, eloklah kita mulakan dengan kes-kes permohonan pembahagian pusaka supaya kita tidak terpaksa menyediakan banyak pegawai baru untuk mengurusnya dan modal yang banyak dengan segera untuk membeli tanah-tanah itu. Setiap hari perbicaraan pembahagian pusaka berlaku di Mahkamah Tinggi dan pejabat tanah. Apabila waris-waris mendengar bahawa mereka boleh mendapat wang daripada bahagian pusaka mereka, mereka sendiri akan mendapat maklumat mengenainya dan membuat permohonan. Waris-waris pusaka yang tidak mengambil kuasa, besar kemungkinan, akan mengambilnya apabila mereka mendapat tahu mereka akan dibayar dengan wang bagi bahagian mereka yang kecil itu dan tidak pernah mendapat apa-apa faedah daripadanya.

Saya percaya, setahun demi setahun, jumlah keluasan lot tanah satu ekar dan kurang yang dimiliki oleh seorang pemilik akan berkurangan. Pada masa yang sama, pemilikan syarikat yang ditubuh oleh kerajaan itu akan bertambah. Tidak hairan jika ia akan menjadi tuan tanah terbesar.

Akhir kata

Perlu diingati bahawa, pertama, isu syariah yang dibincangkan di sini hanyalah sekadar pemahaman saya, bukan seorang ulama. Kerajaan Persekutuan bolehlah mendapat pandangan daripada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Aama Islam Malaysia.
Kedua, cadangan ini masih di peringkat awal. Ia perlu dihalusi bukan sahaja dari segi hukum, tetapi juga dari segi undang-undang, ekonomi dan pentadbiran. Mungkin idea yang lebih baik akan timbul.

Saya percaya, jika reformasi ini dilakukan ia akan menjadi satu reformasi tanah yang pertama bagi menangani akibat faraid, tanpa menimbulkan isu syariah.

 

— TUN ABDUL HAMID MOHAMAD mantan Ketua Hakim Negara

19 Jun 2024

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me