Pelajar SMK St Gabriel melaksanakan modul aktiviti yang disediakan oleh mahasiswa UM.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan 24 orang mahasiswa dari Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM) telah meluangkan masa bersama 40 orang pelajar Tingkatan Dua SMK St Gabriel, Kuala Lumpur, baru-baru ini dalam program “Sulam: An Prihatin”.

Ia merupakan sebahagian daripada kerja kursus teras universiti untuk mahasiswa berkenaan, iaitu Pembinaan Komuniti, Tindakan Sosial dan Inovasi.

Objektif pembelajaran kerja kursus ini adalah memberi pendedahan kepada mahasiswa untuk mendekati kelompok komuniti yang  dirasakan mempunyai potensi dalam menjadi ejen perubahan masyarakat dalam mengharungi cabaran dunia pasca pandemik yang semakin tidak menentu, jelas Dr Asbah Razali, pensyarah kanan Jabatan Antropologi dan Sosiologi yang merupakan penasihat program.

Selain memupuk kemahiran pemikiran kreatif, aktiviti-aktiviti interaktif yang dilaksanakan turut bertujuan untuk melatih pelajar agar menguasai kemahiran bersosial, dan seterusnya membina sahsiah diri yang positif agar mampu menjadi suri teladan masyarakat kelak.

“Program ini diharap dapat meningkatkan semangat dan motivasi pelajar untuk lebih berkeyakinan dalam setiap aspek tugas yang dilakukan.

“Ia juga dapat membentuk pelajar agar lebih dinamik, progresif dan berkeperibadian unggul dan menjadikan program ini sebagai salah satu pengalaman yang berharga dalam kehidupan mereka,” kata Asbah.

Menurut pengarah program ini, Nurulqurratu’aini Sulaiman, kesemua aktiviti yang dilaksanakan adalah berbentuk interaktif dan memerlukan kerjasama dari kesemua ahli kumpulan, termasuklah sukarelawan UM.

“Dengan cara ini, bukan sahaja dapat mewujudkan suasana yang ceria, malah secara tidak langsung telah melatih para remaja untuk membina kemahiran berinteraksi dengan orang lain di dalam sebuah konteks kemasyarakatan yang praktikal,” katanya lagi.

Menariknya, berbeza dengan program interaktif di antara sukarelawan dari pelajar university dan peserta dari remaja sekolah sebegini, “Sulam: An Prihatin” turut memuatkan sebuah aktiviti debat yang membincangkan isu semasa kemasyarakatan yang melibatkan peranan golongan remaja.

Secara tidak langsung, aktiviti ini telah memupuk sifat keberanian mereka, terutamanya dalam mengutarakan pendapat masing-masing.

Di penghujung aktiviti, mereka juga berpeluang untuk bertukar-tukar pandangan sesama mereka. – MalaysiaGazette