Jismi bersama pelarian Palestin di Syria.

KUALA LUMPUR – Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) memohon kepada kerajaan untuk mempertimbangkan bagi memberi sokongan kepada pelarian Palestin di negara ini.

Presiden MAHAR Jismi Johari berkata, pihaknya percaya dengan sokongan dan peluang yang betul pelarian Palestin boleh menyumbang kepada ekonomi dan masyarakat tempatan serta memperkaya kepelbagaian budaya di Malaysia.

“Kami percaya  pelarian, termasuk komuniti Palestin dan Syria di Malaysia, mempunyai potensi untuk memberikan kesan positif kepada masyarakat dan ekonomi jika mereka diberi sokongan dan sumber yang diperlukan.

“Adalah penting  kita mewujudkan persekitaran yang inklusif yang merangkumi kepelbagaian dan memberdayakan semua individu untuk maju,” kata Jismi dalam kenyataan sempena Hari Pelarian Sedunia yang diadakan pada setiap 20 Jun.

Menurut Jismi, terdapat kira-kira 4,000 pelarian Palestin di Malaysia dan MAHAR menyokong dasar-dasar yang memberi kesejahteraan dan integrasi pelarian ke dalam masyarakat Malaysia.

Penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat ketika ini sedang berhadapan dengan serangan kejam daripada tentera Israel yang telah berlarutan selama lapan bulan dan menyebabkan lebih 37,000 kematian.

“Organisasi ini menyeru masyarakat Malaysia untuk berganding bahu menyokong perjalanan pelarian ke arah masa depan yang lebih cerah dan penuh harapan.

“Pada Hari Pelarian Sedunia ini, MAHAR berharap agar dunia terus menyokong dan memberi harapan kepada semua pelarian di seluruh dunia.

“Semoga kita semua dapat menyumbang ke arah dunia yang lebih berperikemanusiaan dan penuh kasih sayang,” kata Jismi dalam kenyataan.

MAHAR telah menguruskan Program Penempatan Sementara Migran Syria (PPSMS) di Malaysia sejak 2016 selepas dilantik oleh kerajaan.

Program tersebut dimulakan sebagai tindak balas kepada ikrar yang dibuat Malasyia semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-70 yang bertujuan untuk menyediakan perlindungan sementara kepada 3,000 pelarian Syria.

Fokus utama adalah menyediakan keperluan asas seperti tempat tinggal, pendidikan, penjagaan kesihatan dan mata pencarian yang lestari.

MAHAR telah memainkan peranan penting dalam mengumpul data, mengatur wawancara, dan menguruskan logistik untuk memastikan keperluan asas mereka dipenuhi dan membantu mereka berintegrasi ke dalam masyarakat Malaysia.

NGO itu juga menekankan sumbangan yang signifikan yang dibuat oleh pelarian Syria kepada masyarakat Malaysia melalui aktiviti ekonomi, penglibatan sosial, akademik, dan amal.

Semasa pandemik Covid-19 melanda, pelarian Syria memberikan sokongan penting kepada komuniti yang terjejas, termasuk makanan, tenaga, dan bantuan kewangan.

Pada tahun 2022, pelarian Syria turut membantu mangsa banjir di Selangor dan Pahang.

MAHAR katanya, tetap berdedikasi untuk mempromosikan masyarakat yang lebih inklusif dan bersemangat kasih, di mana pelarian diterima dan diberdayakan untuk maju.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast