NIBONG TEBAL – Sebanyak tiga jalan akan ditutup sementara kepada semua kenderaan sempena hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.20 Sungai Bakap pada Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Chong Boo Khim berkata, penutupan jalan itu bermula esok jam 11.59 malam sehingga 3 petang Sabtu (22 Jun) bagi memastikan kelancaran proses berkenaan.

Katanya, penutupan jalan itu membabitkan Jalan Serindit, jalan susur Ibu Pejabat Polis Daerah SPS dan jalan susur JKR SPS.

“Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan sebaik mungkin serta mengenalpasti laluan-laluan yang akan ditutup.

“Pengguna jalan raya diminta untuk menggunakan laluan alternatif agar tidak terperangkap dalam kesesakan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, orang ramai yang mahu hadir ke lokasi penamaan calon juga dinasihatkan untuk  tidak meletakkan kenderaan di lokasi yang tidak dibenarkan seperti kawasan perumahan sehingga boleh menghalang lalu lintas sekali gus menyebabkan kesesakan

“Kita harap semua pihak memberikan kerjasama dan mematuhi arahan penguatkuasa bertugas bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon,” katanya. – MalaysiaGazette