Timbalan Perdana Menteri dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Sri Zahid Hamidi bercakap selepas mengadakan pertemuan tertutup bersama wakil MOONTON Games dan tiga pasukan sukan elektronik iaitu Selangor Red Giants, Homebois dan Gaimin Gladiators Homegirls di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 21 JUN 2024.

PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) bersedia untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri Nenggiri sekiranya mahkamah memutuskan Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya perlu menunggu keputusan mahkamah terlebih dahulu sebelum memikirkan calon yang sesuai untuk diketengahkan.

“UMNO juga meletakkan diri sebagai underdog untuk merampas kerusi tersebut walaupun kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu menyaksikan kalah dengan majoriti 800 undi sahaja.

“Kita menghormati keputusan speaker DUN Kelantan, kita juga harus menghormati bahawa perkara ini telah dibawa ke mahkamah, namun kami berpendapat bahawa ia harus diputuskan oleh mahkamah terlebih dahulu,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas mesyuarat khas bersama peserta dan penganjur “Mid Season Cup Mobile Legends: Bang Bang 2024 – Moonton Games Malaysia” di pejabatnya, di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada 28 Jun ini bagi membincangkan pelaksanaan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri setelah disahkan kerusi kosong bermula 19 Jun lalu.

Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun lepas.

Beliau berkata, selain itu Parti Pribumi Bersatu malaysia (Bersatu) pada 12 Jun lepas juga memaklumkan Mohd Azizi telah hilang keahlian, dan seterusnya berlaku kekosongan luar jangka pada kerusi berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang ditanya sama ada BN bersedia memberi laluan kepada Mohd Azizi yang mewakili kerajaan Perpaduan dalam PRK tersebut berkata, BN sedia mengadakan rundingan dan mempertimbangkan perkara itu.

“Saya fikir pendirian kami ialah di mana mana tempat yang ada PRK penyandang itu jika datang daripada parti komponen dalam kerajaan madani ini, kita berikan keutamaan.

“PRK yang berlaku di banyak tempat kami berterima kasih kerana calon calon BN dibantu juga oleh jentera Kerajaan perpaduan dan inilah yang sedang kami lakukan di Sungai Bakap dan tidak mustahil untuk dilakukan di DUN Nenggiri,” ujarnya.

Ahmad Zahid yang ditanya sama ada UMNO boleh menarik sokongan lebih 5,000 ahli tegar UMNO yang merupakan pengundi putih menyokong calon Kerajaan Perpaduan berkata, ia boleh dicapai. – MalaysiaGazette