SUBANG JAYA – muslihat seorang pemuda yang menggunakan nombor pendaftaran palsu untuk mengelak motosikalnya ditarik pihak bank kerana culas bayar ansuran bulanan membawa padah apabila beliau ditahan penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam sekatan jalan raya di Plaza Tol Subway, di sini, malam semalam.

Pemeriksaan anggota JPJ Selangor terhadap nombor casis mendapati motosikal jenis Yamaha 135LC itu tidak sepadan dengan nombor plat yang dipamerkan.

Pekerja kedai serbaneka itu berkata, dia terpaksa menukar nombor plat motosikal kerana tidak mahu kenderaan itu ditarik akibat tunggakan bayaran selama tiga bulan dengan kedai motosikal.

“Setiap bulan saya perlu bayar RM299 dan ada tiga tahun lebih lagi lunaskan ansuran bulanan itu.

“Saya tukar nombor plat ini dalam seminggu lalu sebab takut kedai tarik. Saya tahu risiko buat benda ini, tapi itulah. Saya reda,” katanya.

Motosikal pemuda itu disita dan semakan mendapati pemuda berusia 21 tahun itu tidak memiliki lesen memandu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, Op Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2024 itu diketuai Ketua Seksyen Operasi JPJ Selangor, Muzlefa Kamarudin bermula jam 8 malam dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, dalam operasi malam tadi sebanyak 318 kesalahan dikesan menerusi hasil pemeriksaan ke atas 1,220 kenderaan dalam sekatan jalan tersebut.

“Hasilnya, pelbagai kesalahan direkodkan antaranya tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, lesen kenderaan motor tamat tempoh, kesalahan teknikal serta cermin gelap.

“Kebanyakan pesalah memberi alasan kononnya lupa hendak memperbaharui lesen memandu dan juga takde masa serta lupa bawa lesen.

“JPJ juga menyita sebanyak 23 kenderaan selain 18 diarah periksa serta 16 notis larangan penggunaan kenderaan dikeluarkan malam ini(Khamis),” katanya.

Tambah beliau, elemen rondaan dan pemantauan di jalan utama serta lokaso kerap kemalangan akan dipertingkat dalam Op HRAA 2024. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast