Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan di sebuah agensi kerajaan mengalami kerugian RM3.5 juta selepas dikatakan diperdaya peguam yang menguruskan jual beli lot tanah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa berusia 63 tahun telah membuat laporan polis di Ampang semalam.

“Berdasarkan laporan yang diterima, pada 25 Oktober 2022, mangsa telah menandatangani perjanjian jual beli untuk menjual dua tanah lot miliknya kepada sebuah syarikat dengan nilai RM3.5 juta.

“Perjanjian tersebut telah disaksikan oleh seorang peguam dari firma guaman yang telah dilantik untuk mewakili mangsa.

“Pada 15 Mac 2023, mangsa telah membuat cap jari di Pejabat Tanah Petaling bersama peguam yang dilantik dan urusan penjualan tanah tersebut selesai pada hari sama.

“Bagaimanapun sehingga hari mangsa tidak menerima sebarang wang hasil daripada penjualan tanah tersebut dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Tambah Ramli, jumlah kes pecah amanah melibatkan peguam mungkin kecil jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan peguam yang berdaftar namun nilai kerugian yang direkodkan bagi satu-satu kes adalah amat besar.

“Maka dari situ, PDRM memandang serius isu ini dan usaha yang sewajarnya perlu diambil bagi mengekang kes-kes sebegini dari terus berlaku.

“Majlis Peguam Malaysia juga digesa untuk turut senada dalam hal ini dan melaksanakan peranannya demi menjaga imej dan nama baik profesion peguam,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here