Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

KUALA LUMPUR – Kakitangan bank dan dalang utama kes kehilangan wang tunai daripada beberapa akaun simpanan berjumlah RM24.2 juta hidup mewah apabila menerima komisen lumayan hasil penipuan yang dijalankan oleh suspek.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek yang merupakan menerima bayaran antara RM100,000 hingga RM240,000 mengikut peranan masing-masing.

“Dalang utama termasuk empat kakitangan bank antara penerima habuan tertinggi hasil daripada penipuan jenayah terancang yang dilakukan oleh mereka.

“Kita juga percaya dalang utama bagi kes ini adalah individu yang dipercayai pakar dalam membuat pemalsuan dokumen peribadi seperti kad pengenalan serta cap jari bagi proses meluluskan proses verifikasi sebelum pengeluaran duit itu.

“Bukan itu sahaja, kakitangan bank itu juga dipercayai akan membocorkan maklumat kepada ahli sindiket lain, akaun pelanggan mana yang mempunyai simpanan tinggi untuk dijadikan mangsa,” katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Kakitangan bank dan dalang utama kes kehilangan wang tunai daripada beberapa akaun simpanan berjumlah RM24.2 juta hidup mewah apabila menerima komisen lumayan hasil penipuan yang dijalankan oleh suspek.

Menurut Ramli, kegiatann sindiket yang aktif sejak tahun lalu itu juga dikesan pernah melakukan pengeluaran di akaun milik pelanggan bank lain sebelum ini.

“Kita dapati, salah seorang kakitangan bank yang ditahan ini pernah bertugas di bank lain sebelum bekerjasama dengan ahli sindiket sama bagi melakukan jenayah terancang itu.

“Sebelum dia bertukar dan bertugas di bank sekarang ini dan masih melakukan kegiatan sama. Transaksi pengeluaran berkenaan dilakukan secara runcit (sedikit demi sedikit) dengan menggunakan kaedah dan modus operandi sama,” jelasnya.

Antara barangan rampasan yang dilakukan JSJK.

Tambah beliau, sistem dan prosedur operasi standard (SOP) bank adalah baik namun disebabkan masalah integriti kakitangan menyebabkan wang terbabit mudah untuk dilesapkan.

Ramli berkata, nilai keseluruhan wang yang telah dikeluarkan sindiket ini adalah RM24.2 juta iaitu RM3.5juta bagi kes pertama diikuti kes kedua sebanyak RM5.7 juta; kes ketiga berjumlah RM6 juta dan kes keempat sebanyak RM9 juta.

“Daripada empat laporan polis yang diterima, dua laporan dibuat oleh pemilik akaun dan dua yang lain dibuat adalah pegawai bank yang berkaitan.

“Susulan itu, 14 individu terdiri daripada lapan lelaki dan enam wanita berusia 22 hingga 53 tahun telah ditahan dengan 13 tangkapan dibuat di sekitar Kota Kinabalu, Sabah dan seorang lagi di Padang Besar, Perlis.

“Polis juga telah merampas sembilan buah kenderaan pelbagai jenis dan jenama, wang tunai berjumlah RM1.93 juta, telefon bimbit pelbagai jenama, kad ATM, kad debit,, kad kredit, barang berharga serta pelbagai barangan dan dokumen lain dipercayai mempunyai kaitan” katanya. – MalaysiaGazette