Penduduk Kondominium Sang Suria, Datuk M. Govindaraji bersama isterinya dan Presiden Kebangsaan Nambikkai Malaysia, Datuk Kalai Vanar.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 380 penduduk di kondominium Sang Suria di Jalan Ipoh, di sini, mendesak pemaju Sentul Raya Sdn Bhd untuk memberikan Hakmilik Strata kepada mereka dengan segera.

Presiden Kebangsaan Nambikkai Malaysia, Datuk Kalai Vanar berkata, salah seorang penduduk di situ iaitu Datuk M. Govindaraji bersama isterinya telah membeli rumah itu sejak 2007 dan sehingga kini masih tidak mendapatkan status Hakmilik Strata.

Katanya, Govindaraji telah mengemukan surat dan permohonan berkaitan perkara itu kepada pihak pemaju dan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) namun tiada maklum balas daripada PTGWP.

“Mereka telah membeli rumah jenis ‘penthouse’ di sana dengan keluasan 6,000 kaki persegi dan masih membayar setiap bulan sejak 2007 sebanyak RM6,000 menjadikan jumlah keseluruhan sehingga kini adalah RM1,224,000.

“Bukan itu sahaja cukai tanah pun tetap bayar termasuklah duit taksiran kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Namun mengapa mereka masih tidak diberikan status Hakmilik Strata?

“Mereka juga telah tulis surat pada pihak pemaju pada 2021 dan dimaklumkan kawasan rumah itu ada gangguan yang mana kerajaan mengambil sedikit tanah tersebut untuk projek MRT.

“Setahu saya, kalau projek MRT ini dalam tempoh lima tahun sahaja. Tidak logiklah, dari tahun 2007 hingga 2024, MRT masih berjalan? Kalau mengikut undang-undang Hakmilik Strata, pemaju boleh berikan kepada pemilik rumah sebelum mereka masuk ataupun selepas bangunan itu selesai,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Presiden Kebangsaan Nambikkai Malaysia, Datuk Kalai Vanar.

Jelasnya, isu tersebut telah membelenggu penduduk di kawasan perumahan itu sejak sekian lama dan perkara tersebut tidak harus dipandang enteng oleh pihak berkuasa.

Kalai berasa kecewa dengan pihak PTGWP yang lepas tangan dan pemaju pula dilihat sengaja melenggahkan rayuan hak milik penduduk di kondominium Sang Suria.

“Kami memandang serius perkara ini dan kami akan membawa hal ini kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan menyerahkan memorandum pada isnin bagi menjawab isu tersebut.

“Selain itu, kementerian juga boleh mengambil tindakan kepada pihak pemaju dibawah Akta 318 sekiranya mereka tidak mahu bekerjasama dengan PTGWP.

“Kami juga akan membuat laporan polis minggu depan dan memberi tempoh 14 hari kepada pemaju bagi memberi reaksi berhubung Hakmilik Strata kepada penduduk kondominium Sang Suria,” jelasnya. – MalaysiaGazette