NIBONG TEBAL – Komen jelik termasuk menyentuh isu agama, bangsa dan raja (3R) ketika melakukan sesi siaran langsung (live) di platform media sosial tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata, ia sebagai peringatan kepada penyokong mana-mana parti politik agar tidak melanggar undang-undang khsususnya sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang bermula hari ini.
“Kerisauan kita adalah orang yang menggunakan akaun palsu untuk cuba mengeruhkan keadaan dan mengeluarkan kenyataan yang tidak baik.
“Ramai beranggapan kalau tinggalkan komen jelik dalam FB ‘live’ dan Tik Tok ‘live’ ini tidak akan ada kesan kepada mereka, tapi sebenarnya tidak ya, dan kita nak maklumkan pemantauan ini sentiasa berjalan.
“Sehubungan itu, penyokong kedua-dua calon terbabit diminta agar sentiasa beradab dan berkelakuan baik terutamanya di media sosial,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Serbaguna Sungai Jawi, di sini, hari ini.
PRK DUN Sungai Bakap yang membuka tirai dengan rasminya hari ini, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail.
Media sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 6 Julai, manakala pengundian awal pada 2 Julai.
Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK Sungai Bakap yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis. – MalaysiaGazette