Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir diiringi Pengerusi Projek 66.6, Datuk Zuraida Kamaruddin bergambar bersama peserta pada Penyerahan Watikah Peserta Projek 66.6 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 22 JUN 2024.

PUTRAJAYA – Bilangan wanita yang menjadi ahli Dewan Rakyat sekali gus sebagai pembuat dasar masih kecil iaitu kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen sedia ada.

Bagi meningkatkan jumlah wanita dalam Dewan Rakyat sebanyak 30 peratus Projek 66.6 yang dinaungi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan dipengerusikan oleh bekas Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin dilancarkan hari ini.

Dr. Mahathir berkata, sasaran 30 peratus Ahi Parlimen wanita adalah jumlah konservatif berbanding nisbah keseluruhan penduduk iaitu 47.4 peratus wanita berbanding 52.6 peratus lelaki.

“Statistik memperlihat berapa besar sumbangan kaum wanita di negara kita contohnya antara tahun 2018 hingga 2022 kadar penyertaan tenaga buruh wanita dilaporkan kekal sekitar 55 peratus.

“Jika begitu besar tenaga wanita terbabit dalam pembangunan negara sasaran Projek 66.6 untuk menempatkan 30 peratus wanita di Dewan Rakyat adalah sesuatu yang boleh kita katakan sebagai perkembangan semula jadi yang harus berlaku.

“Sekarang ini hanya terdapat hampir 15 peratus ahli Dewan Rakyat daripada kalangan wanita dan ini tidak mencerminkan nisbah yang sihat dari segi kependudukan mahu pun peranan wanita dalam proses membuat keputusan negara,” katanya.

Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir diiringi Pengerusi Projek 66.6, Datuk Zuraida Kamaruddin meninggalkan majlis Penyerahan Watikah Peserta Projek 66.6 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 22 JUN 2024.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Projek 66.6 bertemakan Wanita Malaysia Minda Baharu, di sini, hari ini.

Sementara itu, Zuraida berkata, angka 66.6 merujuk kepada 30 peratus ahli Parlimen wanita yang disasarkan.

Bagi projek perintis seramai 70 peserta termasuk 3 lelaki di bawah 40 tahun telah dipilih.

Bekas Naib Presiden PKR itu tidak menafikan ada antara peserta bakal menjadi calon dalam pilihan raya umum akan datang.

“Untuk penghujungnya saya tidak tahu, berkemungkinan mereka sendiri atas kapasiti akan menuju ke arah itu (calon pilihan raya).

“Tetapi daripada peringkat kami adalah untuk membimbing mereka dari sudut kepimpinan masyarakat akan dapat mematangkan rakyat kita untuk menyokong wanita dalam membuat keputusan.

“Jadi banyak aspek mereka akan dilatih dan mereka akan menggunakan pendekatan di lapangan bertemu dengan komuniti dan rakyat,” katanya dalam sidang media.

Menurutnya, peserta akan dilatih oleh pimpinan Pusat Kajian Politik dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast