19 mangsa golongan tidak berkemampuan ditipu syarikat skim pelaburan tidak wujud sejak tahun 2020.

KUALA LUMPUR – Menggunakan modus operandi kononnya pelaburan mesin minuman dengan kerjasama sebuah yayasan terkenal – sebuah syarikat didakwa telah memperdaya seramai 19 mangsa dengan jumlah kerugian lebih RM1.84 juta sejak tahun 2020.

Lebih mengecewakan apabila syarikat itu dipercayai tidak wujud itu sebenarnya menyasarkan golongan miskin, pesara, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan mengabui mata mereka kononnya skim pelaburan itu mampu menjana pendapatan tinggi.

Mendedahkan perkara itu, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sindiket itu sengaja menawarkan mangsa pulangan dividen menguntungkan selain daripada faedah lain.

Bagaimanapun, menurutnya, mangsa-mangsa sedar ditipu apabila tidak menerima apa pun seperti yang dijanjikan setelah hampir enam tahun sejak menyertai skim tersebut.

“Kita memang terkejut lagi-lagi apabila sindiket ini menggunakan nama sebuah yayasan yang ternama di negara kononnya mereka telah menjalin kerjasama bagi skim pelaburan ini. Mereka ini cukup berani gunakan nama yayasan ini malah juga telah hebahkan skim ini di radio dan paltform lain.

“Mangsa-mangsa ini tertipu dari awal lagi kerana menyangka sememangnya inisiatif seumpama ini untuk bantu golongan B40 khasnya memang wujud. Mereka pernah dikemukakan sebarang bukti bahawa mesin minuman air layan diri terbabit memang benar-benar wujud atau tidak,” katanya hari ini.

Menurut Hishamuddin, semua maklumat diberikan oleh ejen pemasaran lantikan syarikat yang akan dibayar komisen tetapi ejen-ejen yang memasarkan skim ini juga dikatakan telah ditipu oleh pihak syarikat tersebut.

Difahamkan, setiap mangsa telah membayar antara RM30,000 untuk satu mesin hingga mencecah ratusan ribu bagi membeli skim mesin air layan diri itu.

Ada antara mereka terpaksa meminjam dari bank, menggadai rumah serta menghabiskan wang persaraan bagi tujuan itu.

Mesin yang dibeli itu kemudian didakwa akan diletakkan di sekolah-sekolah serta premis lain yang mana keuntungannya pasti akan dijana oleh pembeli.

Kata Hishamuddin, masalah mula timbul apabila mangsa langsung tidak menerima apa-apa bayaran pulangan atau keuntungan seperti dijanjikan syarikat itu.

“Mangsa kemudian berhubung dengan ejen pemasaran wakil syarikat, namun tiada jawapan positif yang diberikan, pada mulanya mereka tidak tahu apa yang hendak dilakukan kerana dokumen yang mereka miliki ini disyaki palsu.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf ketika dihubungi mengesahkan kes ini sedang dalam siasatan pihaknya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here