Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jualan diesel di sempadan menurun sehingga 40 peratus sejak penyasaran subsidi dilaksanakan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perkembangan itu mengesahkan wujudnya aktiviti penyeludupan bahan api ke negara sempadan sebelum ini.

“Buat masa ini, badan-badan penguat kuasa giat bekerjasama dan mengatur gerak pelbagai operasi bagi membendung aktiviti penyeludupan dan juga sebarang unsur yang menjejaskan kestabilan bekalan barangan dan perkhidmatan serta mengekang elemen pencatutan harga di pasaran,” katanya ketika menyampaikan ucapan penerangan Pelaksanaan Penyasaran Semula Subsidi Diesel di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, menurut Amir Hamzah, jualan runcit diesel di stesen minyak telah menurun hampir lapan juta liter sehari atau 30 peratus bagi minggu pertama semenjak pelaksanaan penyasaran subsidi diumumkan.

“Bagi tempoh yang sama, jualan diesel komersial pula meningkat
sebanyak empat juta liter sehari yang memberi isyarat bahawa sebahagian penggunaan diesel runcit bersubsidi selama ini telah digunakan oleh sektor industri yang sepatutnya membeli diesel pada harga pasaran.

“Ini bermakna, trend peningkatan jualan diesel komersial menggambarkan tanda positif bahawa ketirisan diesel bersubsidi telah berkurang,” tambahnya.

Terdahulu, katanya, setakat 20 Jun lalu, sebanyak 73,000 syarikat melibatkan 223,000 kenderaan pengangkutan barangan darat telah diluluskan untuk menikmati diesel pada harga RM2.15 seliter.

Daripada jumlah tersebut, 129,000 fleet card telah dikeluarkan oleh syarikat minyak.

Jelas Amir Hamzah, sebanyak 100,000 pemohon Budi Madani Individu dan Agrikomoditi diluluskan setakat 19 Jun lalu.

“Daripada jumlah tersebut, 76,000 pemohon telah menerima bantuan tunai bulanan RM200 mereka seawal 10 Jun lalu,” katanya.- MalaysiaGazette