Enam Ahli Parlimen Bersastu yang dilucutkan keahlian sekaligus menyaksikan kemungkinan enam kerusi Parlimen terpaksa dikosongkan.

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan) menegaskan kedudukanya di Dewan Rakyat masih di blok pembangkang.

Ia kerana,  Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul masih belum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan keenam-enam Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang bertindak menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Memang pun (masih di blok pembangkang) selagi Speaker (Tan Sri Johari Abdul) tak buat apa apa keputusan, kami masih di blok (pembangkang) ini,” katanya menerusi pesanan aplikasi WhatApps, hari ini.

Menurut laman web rasmi Parlimen, kedudukan keenam-enam mereka masih di dalam blok pembangkang dan berhampiran dengan kedudukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar).

Menurut kedudukan itu, kerusi mereka masih dikekalkan di bahagian belakang blok E, iaitu sejak pertukaran dan perubahan tempat duduk Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dikemas kini Parlimen pada Mac lalu.

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Sebelum ini, Bersatu mengemukakan notis kepada Johari meminta supaya enam kerusi Parlimen diwakili wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong Anwar dikosongkan.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Whipnya yang juga naib presidennya, Datuk Dr Ronald Kiandee, selepas merujuk Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, yang mana keahlian parti enam wakil rakyat Bersatu itu terhenti secara serta-merta.

Dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perenggan 3, Speaker Dewan Rakyat perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dalam masa 21 hari selepas notis diterima. – MalaysiaGazette