Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan bercakap kepada media selepas usul hadap ke Jawatankuasa Khas Parlimen diluluskan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 24 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Sdiang Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul untuk menghadap Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Usul yang dipersetujui dengan undian blok itu dicadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said  membentangkan usul berkenaan di hadapan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

“Saya mohon cadangkan Datuk Wan Saiful Wan Jan hendaklah dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk membuat penentuan samada kenyataan yang dibuat dalam Dewan Rakyat mengelirukan dewan dan merosakkan kepentingan pihak-pihak yang berbicara dalam kes tersebut,” kata Azalina.

Sebelum keputusan itu dibuat, Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Syahredzan Johan (PH-Bangi) dibenarkan berbahas oleh Johari.

Untuk rekod pada 22 Mac lalu, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Bebas-Tanjong Karang) memfailkan usul bagi merujuk Wan Saiful ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, selepas pemimpin Bersatu itu membuat sangkaan jahat terhadapnya dengan mendakwa dirinya sebagai ‘ejen’ yang memujuk dan menyogok Ahli Parlimen PN untuk menyokong kerajaan.

Sehari sebelum itu, Wan Saiful mendakwa Zulkafperi dan Mohd Azizi Abu Naim (Bebas-Gua Musang) bersama tiga lagi individu dikenali sebagai Hasnan, Datuk Azman serta Datuk Rahim membuat kacau ganggu dalam usaha mempengaruhi kelakuan dan sokongan beliau kepada kerajaan.

Wan Saiful kini berdepan tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan projek Jana Wibawa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada aktiviti haram 2001.

Tindakan itu mendapat tentangan daripada blok pembangkang dengan semua Ahli Parlimennya bertindak keluar daripada dewan dan mengadakan sidang media dengan diketua Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu). – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. semoga usaha kerajaan mereformasikan pentadbiran negara, termasuk sistem parlimennya terlaksana.
    wakil-wakil rakyat perlu memastikan hanya perbahasan berfakta dibentangkan diparlimen bagi mendewasakan pemikiran dan fungsi ahli parlimen.

  2. mana-mana ahli parlimen yang ponteng tanpa sebab munasabah patut diambil tindakan tegas sehingga terbatal/terlucut sebaga ahli parlimen kerana gaji/elaun mereka daripada duit/gaji rakyat yang membayar cukai .
    Ahli Parlimen yang tidak buat kerja di kawasan-kawasan masing pun perlu diambil tindakan.
    Sedangkan pekerja yang ponteng atau tidak melakukan kerja seperti mana yang mereka janji dalam sumpah kerja pun kena tindakan ,kenapa ahli parlimen/adun tidak diambil tindakan?
    Kenapa perlu double standard

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here