Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pasangan yang mengambil keputusan tidak mahu mempunyai anak kerana terpengaruh dengan fahaman childfree bertentangan dengan tujuan utama perkahwinan dalam agama Islam.

Malah pasangan yang menjadikannya sebagai gaya hidup terbaik yang bebas daripada sebarang tanggungjawab serta sebagai prinsip hidup yang menafikan fitrah manusia itu juga tidak bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW untuk meramaikan umat Islam.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi hantaran di Facebook berkata, jika pasangan bersetuju untuk tidak memiliki anak tanpa sebarang sebab yang diambilkira oleh syarak seperti keinginan untuk bebas daripada sebarang tanggungjawab maka perbuatan tersebut adalah makruh.

“Manakala pasangan yang memilih untuk tidak mempunyai zuriat selama-lamanya bahkan melakukan apa sahaja cara termasuk prosedur perubatan bagi menghilangkan kemampuan reproduksi (pemandulan kekal) dan menggugurkan kandungan tanpa pengesahan doktor perubatan dan sebab-sebab yang dibolehkan oleh syarak, maka perbuatan tersebut adalah haram,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan itu turut memaklumkan  pasangan yang bersetuju untuk tidak memiliki anak atas sebarang sebab yang diambil kira oleh syarak.

“Lebih-lebih lagi jika terdapat kemudaratan dan keuzuran seperti menyebabkan kematian, menyebabkan keadaan penyakit bertambah teruk dan sebagainya maka hukumnya adalah harus dengan syarat kaedah pencegah kehamilan tidak mendatangkan mudarat dan bertepatan dengan syarak,” katanya.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut memaklumkan perkahwinan dan memiliki anak adalah suatu fitrah dan memiliki tujuan tersendiri dalam syariat.

Katanya, Islam juga tidak mewajibkan pasangan memiliki anak dan juga tidak melarang untuk tidak memiliki anak.

“Berdasarkan penelitian, pada dasarnya persetujuan antara suami isteri untuk tidak memiliki anak atau childfree adalah diharuskan sekiranya terdapat kemaslahatan khusus buat pasangan tersebut.

“Pilihan ini mestilah mendapat persetujuan bersama kerana memiliki anak merupakan hak bagi setiap individu yang berpasangan,” katanya.

Sehubungan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menasihatkan pasangan yang ingin berkahwin untuk membuat perancangan keluarga perlu menganggap kehadiran anak  adalah anugerah bukan suatu bentuk bebanan.

“Bahkan ia berpotensi menjadi sumber kelangsungan pahala buat ibu dan bapanya. Sebagai seorang muslim, perkahwinan dilihat sebagai wasilah mencapai kesempurnaan agama termasuklah dalam urusan memiliki anak jika difahami dan diusahakan sebaiknya,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast