Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Makan Tengahari Mesyuarat Agung Tahunan American Malaysian Chamber Of Commerce (AMCHAM) ke 47 di Sheraton Imperial Hotel, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri  memberi jaminan Malaysia akan terus mengamalkan dasar terbuka terhadap perdagangan dan pelaburan dari Amerika Syarikat (AS).

Penegasan tersebut diberikan Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan kontroversi pelaburan Global Infrastructure Partners (GIP) syarikat yang dimiliki BlackRock Inc. dalam Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB).

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia sentiasa melihat pelaburan dari AS sebagai positif dan memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Seperti yang saya katakan di Parlimen, kerajaan terbuka kepada menerima pelaburan dari syarikat AS. Banyak kali saya tegaskan AS merupakan pelabur terbesar di Malaysia yang mana kita mendapat banyak manfaat daripada pelaburan yang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis makan tengahari sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-47 American Malaysian Chamber of Commerce (AMCHAM) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Indusri Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, Duta Besar Amerika Syarikat (AS) di Malaysia, Edgard D Kagan dan Ketua Pegawai Eksekutif AMCHAM Sobhian Das.- MalaysiaGazette