William Ng

KUALA LUMPUR – Penurunan ranking Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia IMD sebanyak tujuh anak tangga yang disifatkan satu peringatan untuk kembali bangun dan mengambil peluang bagi menilai semula prioriti nasional agar membina hubungan yang lebih erat dan kukuh antara kerajaan dan sektor perniagaan.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, daripada 20 sub-faktor yang diberikan penekanan yang sama untuk menentukan ranking, Malaysia jatuh mendadak dalam lima bidang iaitu ekonomi domestik, produktiviti dan kecekapan, infrastruktur teknologi, amalan pengurusan serta sikap dan nilai.

Menurutnya, peningkatan dalam pelaburan antarabangsa, pekerjaan dan pendidikan tidak mencukupi untuk mengatasi penurunan dalam lima sub-faktor tersebut.

William berkata, dalam sub-faktor ekonomi domestik, Malaysia terjejas teruk dalam petunjuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita sebenar disebabkan oleh peningkatan pesat dalam jumlah pekerja asing tidak mahir dan separa mahir yang telah memasuki negara pada tahun 2023 kerana peperangan yang berlaku di Ukraine dan konflik di bumi Palestin.

“Kita jatuh mendadak sebanyak 20 anak tangga (daripada tempat kedua kepada 22). Ini seterusnya turut memberi kesan kepada prestasi kita dalam sub-faktor produktiviti dan kecekapan kerana ranking tersebut mengambil kita pertumbuhan produktiviti dalam pelbagai sector setiap tahun.

“Malah, sub-faktor produktiviti dan kecekapan merupakan ranking terlemah negara – di tempat ke-53 (penurunan 17 anak tangga daripada tempat ke-36 pada tahun
2023),” katanya.

Penurunan mendadak dalam dua sub-faktor lain di bawah Kecekapan Perniagaan: dalam amalan pengurusan dan (sikap dan nilai) mencerminkan cabaran peralihan yang dihadapi oleh perniagaan, merupakan panggilan mendesak untuk mendapatkan bantuan daripada komuniti perniagaan.

Tahun 2023 telah menyaksikan peningkatan pesat dalam keperluan pematuhan perniagaan termasuk dalam bidang seperti ESG, data raya dan lembaga korporat – menyebabkan ramai responden menunjukkan keletihan serta kebimbangan mereka bagi memenuhi keperluan pematuhan yang semakin mencengkam ini.

Terdapat sikap negatif yang ketara dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap globalisasi, jenama dan budaya asing. sistem penilaian dan transformasi digital – yang menyebabkan penurunan lagi enam anak tangga kepada tempat ke-40 dalam petunjuk (sikap dan nilai) yang sebelum ini berada di tempat ke-34 pada tahun 2022.

Permintaan global yang lebih rendah untuk semikonduktor turut memberi kesan kepada petunjuk eksport teknologi tinggi negara, begitu juga dengan kekurangan tenaga
kerja dalam sektor teknologi tinggi. Kekurangan tenaga kerja ini turut menjejaskan kemampuan kita untuk mengeksport perkhidmatan ICT yang juga mengalami penurunan mendadak pada tahun 2023.

“Daripada perincian sub-faktor yang menjunam, jelas kerajaan tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya atas penurunan ini. Sektor perniagaan dan rakyat Malaysia secara amnya juga perlu bersama-sama memikul beban untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya saing.

“Ini memerlukan penelitian segera terhadap prioriti kita sebagai sebuah negara. Walaupun kita bercita-cita untuk menjadi sebuah negara yang inklusif dengan polisi yang menyokong komuniti tertentu, ini menjejaskan daya saing kita justeru menyebabkan pelarian bakat dan menimbulkan persepsi yang salah bahawa Malaysia tidak menggalakkan pilihan dan persaingan,” tambahnya.

William berkata, seruan boikot baru-baru ini, dan reaksi keterlaluan masyarakat Malaysia terhadap perkara seperti konsert oleh artis tertentu juga tidak membantu penjenamaan dan persepsi negara kita, seterusnya telah dan akan terus menjejaskan perniagaan dan ekonomi negara.

Kerajaan berada di landasan yang tepat dalam penyasaran subsidi yang membebankan negara dan menutup jurang pengelakkan cukai melalui inisiatif seperti e-
Invois.

Bagaimanapun, negera perlu meningkatkan usaha untuk meliberalisasikan peraturan buruh negara dan meletakkan tanggungjawab produktiviti individu di atas bahu rakyat.

Sektor perniagaan termasuk PKS perlu segera mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing yang tidak mahir dan separa mahir, menyesuaikan diri dengan peralihan global ke arah ekonomi karbon rendah, mengguna pakai alatan kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan, serta mengurangkan kebergantungan
kepada perolehan dan bantuan kerajaan.

“Kita perlu mengamalkan prinsip “apa yang baik untuk perniagaan, baik untuk negara”- kerana realiti pasca-pandemik menunjukkan kesejahteraan rakyat di mana-mana sahaja berkait rapat dengan kemakmuran negara. Apabila perniagaan dan ekonomi kita berjalan dengan baik, Malaysia bakal memperoleh lebih banyak pendapatan untuk tabung negara justeru mampu untuk membina jalan yang lebih baik, meningkatkan mutu sekolah dan memberikan keselamatan dan keselesaan yang lebih baik kepada semua rakyat.

“Penurunan mendadak dalam Ranking Daya Saing Dunia IMD adalah loceng amaran buat kita semua. Ini masanya untuk kita menilai kembali prioriti negara, membina ‘Team Malaysia’ yang lebih kukuh, dan mengambil pendekatan seluruh negara untuk mengembalikan Malaysia sebagai mercu tanda pertumbuhan ekonomi
dan kepelbagaian budaya serta toleransi,” katanya. – MalaysiaGazette